Asrol Awang


Kuantan: Bekas ketua eksekutif sebuah kolej swasta didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan menggunakan sijil dan transkrip palsu bagi mendapatkan bayaran RM5,000, kira-kira lapan tahun lalu.

Tertuduh, Amran Mustaffa, 58, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain bagi dua pertuduhan pilihan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, tertuduh didakwa secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu sijil dan transkrip program asasi sains kolej itu atas nama seorang pelajar lelaki di sebuah bank pada 21 Oktober 2015.

Ia bertujuan mendapatkan bayaran RM3,000 daripada seorang wanita yang tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Manakala, bagi pertuduhan pilihan kedua, lelaki terbabit dituduh secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu sijil dan transkrip program asasi sains kolej itu atas nama pelajar sama di bank sama pada 24 Oktober 2015.

Ia bertujuan mendapatkan bayaran RM2,000 daripada seorang wanita sama yang tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifaah Izzati Abdul Mutalif yang meminta mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Sementara itu, dalam rayuan, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda sahaja terhadap anak guamnya.

"Tertuduh sudah insaf dan menyesal. Sepanjang kes, tertuduh juga memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.

"Sejak siasatan pada November 2017, tertuduh tidak bekerja dengan kolej terbabit dan terputus pendapatan.

"Tertuduh yang mempunyai 11 anak berusia tiga hingga 32 tahun berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung keluarga dengan pendapatan setiap bulan tidak menentu," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 bagi kedua-dua tuduhan pilihan itu, dan jika gagal bayar boleh dipenjara selama enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 3:27 PM