GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pembekal perkhidmatan katering didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja dalam Sistem Penjana Kerjaya 2.0 membabitkan kerugian RM170,000.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Mohd Eszahar Mansor, 38, dan mensabitkannya dengan pertuduhan pilihan serta menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Elesabet turut menetapkan hukuman penjara 10 bulan tambahan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Mohd Eszahar dituduh dengan curang menggunakan dokumen berkenaan sebagai tulen dengan mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan, Perkeso Melaka, pada 21 April 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama.

Jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, Perkeso menerima maklumat pada 2020 dan 2021 bahawa syarikat tertuduh mengemukakan tuntutan palsu melalui Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja bagi melaksanakan program itu sedangkan ia tidak dilaksanakan.

Tertuduh membuat beberapa permohonan insentif dengan menggunakan dokumen itu bagi mengesahkan 30 penama yang didaftarkan adalah bekerja secara tetap syarikatnya sedangkan mereka hanya pekerja sambilan dan tidak memenuhi syarat.

Perkeso meluluskan permohonan insentif pada 21 April 2021 berjumlah RM170,400 dan siasatan mendapati ia digunakan tertuduh untuk dirinya termasuk bagi membayar seutas gelang emas.

Lebihan wang insentif turut disita daripada akaun syarikat tertuduh berjumlah RM378,211.37.

Pada 26 Januari lalu di mahkamah sama tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan utama mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut Insentif Program Penjana Kerjaya 1.0 dan 2.0 membabitkan nilai RM1.12 juta.

Perbicaraan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili Peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 4:33 PM