GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pegawai penguat kuasa sebuah jabatan dan dua orang awam ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 17 Januari bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah secara dalam talian.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Tuan Romme Ahmad Zaidi di Mahkamah Majistret Sibu, Sarawak selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu hari ini.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an itu dipercayai ditahan ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Cawangan Sibu, petang, semalam.

Katanya, suspek pertama yang juga seorang pegawai penguat kuasa berusia 30-an ditahan kira-kira jam 5.30 petang manakala suspek kedua dan ketiga yang juga orang awam ditahan kira-kira 3 petang.

Menurutnya, pegawai penguat kuasa itu disyaki meminta dan menerima wang suapan secara dalam talian daripada seorang awam yang dikatakan bertindak sebagai orang tengah menguruskan aktiviti 'pasport terbang' di sekitar Sibu.

"Pegawai itu dipercayai menerima wang suapan menerusi pindahan wang akaun bank milik adiknya," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 4:31 PM