Norzamira Che Noh


TIGA pegawai Penguat Kuasa Agama Islam Daerah (PAID) di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, hari ini, bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah bernilai RM600.

Menurut sumber, ketiga-tiga pegawai PAID yang berusia antara 32 hingga 37 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 6 petang tadi.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM600 daripada orang awam sebagai dorongan tidak mengambil tindakan bagi kesalahan khalwat di daerah tempat mereka bertugas.

Menurutnya, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap semua suspek di Mahkamah Majistret Klang pagi esok.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 11:22 PM