Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Lembaga Disiplin berhubung tindakan terhadap bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

"Itu akan dibincangkan oleh Lembaga Disiplin sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Pengurusan Parti," katanya dalam sidang media selepas ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Khairy bahawa wujud komplot 'Dewan Merdeka' untuk meluluskan usul tambahan dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Khairy mendakwa, tag di kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan Umno sudah ditanggalkan ketika ini sebagai usaha membawa masuk 'perwakilan import' bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.

Ahmad Zahid turut menafikan dakwaan terdapat perwakilan import bagi meluluskan usul berkenaan.

"Mana boleh masuk kalau tiada kad ini (kad perwakilan)," katanya.

l Dakwaan KJ tidak benar, fitnah - Isham

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 7:53 PM