GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Khairulmizan Yahya


Kuantan: Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek kes dadah selepas cuba merempuh anggota polis dalam kejadian di Plaza Tol Kuantan, menghala ke arah Kuantan, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 2.50 pagi itu, sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menahan sebuah kereta Toyota Yaris dipandu lelaki berusia 39 tahun.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, selepas anggota memperkenalkan diri, suspek enggan memberi kerjasama sebaliknya bertindak mengundur kenderaannya sehingga melanggar kereta polis yang berada di belakang.

"Selepas itu suspek terus memecut keretanya dan dalam cubaan untuk meloloskan diri itu, suspek nyaris merempuh seorang daripada anggota polis yang berada di hadapan keretanya.

"Susulan itu, anggota polis terbabit bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah tayar bahagian hadapan dan dua das tembakan ke arah tayar bahagian belakang sebelah kiri kereta suspek," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, suspek bertindak memecut kereta ke arah Sungai Lembing dengan menggunakan laluan bertentangan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

"Ketika diberkas, suspek cuba melawan dan berlaku pergelutan namun hasil kecekapan anggota, suspek akhirnya berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui satu beg kertas berwarna coklat di bahagian brek tangan yang mana di dalamnya berisi empat paket lutsinar berisi serbuk dan ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu," katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek yang berasal dari Kampung Kuala Repas, Bentong dan bekerja sebagai pemandu itu memiliki dua rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Dadah dirampas dianggarkan bernilai RM5,600 dan suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 3:42 PM