BUNG Moktar. FOTO arkib NSTP
BUNG Moktar. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Umno Sabah tidak mengiktiraf dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mewakili parti itu yang dilantik membarisi Kabinet baru negeri dalam rombakan diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

Mereka ialah Adun Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Kerja Raya, serta Adun Sugut, Datuk James Ratib yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia disebabkan Umno negeri tidak memberikan cadangan untuk dua Adun terbabit dilantik menganggotai Kabinet pimpinan Hajiji.

"Lagipun Umno secara konsisten menolak kerjasama bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Hajiji tidak boleh mendakwa lantikan mereka mewakili Umno dan Barisan Nasional (BN) melainkan mereka dilantik atas kapasiti peribadi.

"Umno akan memperhalusi tindakan terhadap pemimpin yang belot untuk dibincangkan bersama Presiden parti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ADUN Lamag itu mengulas senarai Kabinet baru Sabah yang mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu dalam rombakan yang diumumkan hari ini.

Barisan Kabinet itu menyaksikan dua wakil Umno yang menyokong Hajiji iaitu Shahelmey dan James turut menganggotainya, selain dua wakil dari Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Sementara itu, Bung Moktar turut menyifatkan pelantikan itu membelakangkan nasihat dan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan kerajaan perpaduan di Sabah.

"Perlu diingat pembentukan kerajaan perpaduan, BN turut membantu dan perkara ini perlu dilihat oleh Ketua Menteri," katanya.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, kemelut politik Sabah belum berakhir dengan pelantikan anggota baru Kabinet itu.

"Game still on," katanya mengulangi kenyataannya sebelum ini apabila Hajiji menjelaskan mempunyai sokongan majoriti dengan 44 Adun memihak kepadanya.

Dalam hal berkaitan, Bung Moktar mengingatkan Hajiji supaya bersikap adil dengan rakan Kabinet tanpa campur tangan secara langsung dalam soal pentadbiran kementerian masing-masing.

"Jangan hanya mengaut keuntungan dan rakyat diabaikan, buatlah perubahan untuk rakyat dan negeri Sabah," katanya.

Bung Moktar berkata, Umno Sabah juga bersedia untuk menjadi pembangkang yang berkesan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan situasi politik yang berlaku di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 12:47 PM