Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
BERNAMA

Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan Makmal Satelit Forensik Geospatial (MSFG) UTM-PDRM dalam usaha untuk memperluaskan penyelidikan serta pembangunan dalam bidang siasatan jenayah negara.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, makmal satelit yang ditempatkan di Fakulti Alam Bina dan Ukur dirasmikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di sini, semalam.

Beliau berkata, jalinan kerjasama itu dapat mewujudkan ruang kondusif bagi warga akademik serta penyelidik UTM, PDRM dan industri bagi menjalankan aktiviti penyelidikan, penerbitan, perundingan, perkongsian kepakaran melalui perpindahan teknologi, kursus profesional dan khidmat inovasi.

"Makmal satelit ini bertumpu kepada aplikasi teknologi Geospatial seperti 'Terrestrial Laser Scanning' (TLS), 'Airborne LiDAR', 'Unmanned Aerial Vehicle' (UAV), Photogrammetry', 'Geographical Information System' (GIS), 'Augmented Reality' (AR) dan 'Virtual Reality' (VR) ke dalam bidang forensik," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penubuhan MSFG UTM-PDRM juga adalah sejajar dengan UTM enVision 2025 berdasarkan tiga teras strategik.

Tiga teras strategik itu katanya meliputi penghasilan bakat holistik bertaraf dunia untuk memperluas bidang pendidikan dan penyelidikan, pengembangan institusi menerusi kebitaraan yang unik dan khusus untuk kelestarian masa panjang serta transformasi pengalaman hidup menerusi pemerkasaan ilmu pengetahuan dan kepercayaan.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, kerjasama strategik itu mampu meningkatkan usaha PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah untuk memperkemaskan lagi siasatan dalam bidang forensik.

"Ia sekali gus dapat menyumbang kepada dapatan ilmiah yang akan memberi manfaat kepada semua pihak," kata beliau yang juga alumni UTM dalam bidang Kejuruteraan Awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 11:58 AM