PINTU gerbang UTM Skudai. FOTO Supandi Bunangin
PINTU gerbang UTM Skudai. FOTO Supandi Bunangin
Nurul Amanina Suhaini


UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) mengukuhkan penjenamaan di mata dunia, apabila buat julung kalinya berjaya melepasi tangga 200 universiti terbaik di dunia menerusi keputusan kedudukan terkini Quacquarelly Symonds (QS) World University Rankings 2021.

Pro-Naib Canselor (Antarabangsa) UTM, Prof Madya Dr Mohd Ismid Md Said, berkata bagi edisi 2021, universiti terbabit menunjukkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 30 kedudukan ke tangga ke-187 dari 217 tahun lalu, lonjakan tertinggi dalam kalangan universiti penyelidikan di Malaysia.

Katanya, pencapaian UTM dalam QS World University Ranking 2021 itu adalah pencapaian terbaik sehingga kini, sejak UTM mula diterima penarafan QS pada 2012.

"UTM kini berada dalam kelompok 16 peratus universiti terbaik di dunia dengan indikator terbaik Citation per Faculty (petikan per fakulti) yang mana UTM berada pada kedudukan nombor dua di Malaysia.

"UTM juga menunjukkan pencapaian yang membanggakan dalam QS Subject Ranking yang mana subjek Petroleum Engineering (kejuruteraan petroleum) mencapai kedudukan #35 di dunia.

"Kejayaan ini membuktikan universiti ini berada pada landasan tepat bagi melahirkan pakar bertaraf global dalam bidang itu selaras dengan pelan UTM Envisioning 2025," kata dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ismid berkata, pencapaian itu adalah hasil daripada pelaksanaan perancangan strategik UTM yang merangkumi pelbagai aspek akademik, penyelidikan, perantarabangsaan dan pentadbiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 12:21 PM