Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Cubaan dua lelaki menyeludup masuk tayar tidak bercukai ke dalam negara digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor apabila dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu mereka ditahan, Isnin minggu lalu.

Kedua-dua kenderaan itu berjaya ditahan di Taman Cemerlang Lancar dekat Senai, kira-kira jam 10 malam, selepas diekori pasukan penguatkuasa JKDM Negeri Johor dari pintu masuk sempadan negara di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini.

Pengarah Kastam Negeri Johor, Sazali Mohamad berkata, hasil pemeriksaan anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai, JKDM Negeri Johor ke atas dua MPV berkenaan mendapati tayar pelbagai jenama dan saiz 'disumbat' ke dalam kenderaan itu bertujuan untuk diseludup masuk.

"Terdapat 69 tayar baharu pelbagai jenama dan saiz dipercayai tidak berkastam yang diimport dari luar negara dalam kedua-dua MPV berkenaan.

"Tayar yang diseludup ini adalah tayar bagi kenderaan mewah dengan saiz 19 inci ke atas.

"Anggaran nilai dagangan tayar baharu yang disita ini adalah RM41,400, manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit sebanyak RM19,500," katanya ketika sidang media di Menara Kastam di sini, hari ini.

SAZALI menunjukkan tayar tidak bercukai yang diseludup masuk ke dalam negara dan berjaya dirampas ketika sidang media di Menara Kastam di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
SAZALI menunjukkan tayar tidak bercukai yang diseludup masuk ke dalam negara dan berjaya dirampas ketika sidang media di Menara Kastam di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Sazali berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket penyeludupan itu adalah dengan menyeludup masuk sejumlah dagangan tayar baharu pelbagai jenama dan saiz dari negara jiran tanpa sebarang pengikraran.

"Mereka akan membawa barangan ini melalui laluan penumpang di pintu masuk negara dekat selatan tanah air," jelasnya.

Katanya, turut disita kedua-dua MPV jenis Toyota Alphard yang bernilai RM80,000 itu.

Menurut beliau, kedua-dua pemandu MPV berkenaan yang berusia antara 36 hingga 41 tahun itu kemudian ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan tidak berkastam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 1:16 PM