Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Identiti mangsa yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 201.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, dekat sini Sabtu lalu, sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata, mangsa dikenali sebagai Zulkifli Mat Zain, 33, yang bekerja di syarikat swasta di Jawi, Pulau Pinang dan menetap di Kuala Kangsar.

Menurutnya, identiti mangsa dikenal pasti petang semalam hasil pemeriksaan terhadap nombor casis Proton Persona yang musnah terbakar dan didapati didaftarkan atas nama isterinya, Azian Abu Hassan, 31, yang bekerja sebagai kakitangan Hospital Taiping.

"Menurut isteri mangsa, suaminya dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Jawi sebelum terbabit kemalangan itu dan mereka menetap di Kuala Kangsar, namun suaminya sering berulang alik dari rumah ke tempat kerja," katanya di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, mayat mangsa akan dituntut keluarganya sejurus selepas keputusan ujian DNA diperoleh dalam masa terdekat.

Menurutnya, pemandu treler berusia 29 tahun yang menghilangkan diri selepas mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar juga sudah berjaya dikesan dan ditahan.

"Hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap pemandu treler terbabit mendapati dia positif dadah jenis ganja.

"Polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu itu semalam dan dia dibebaskan dengan jaminan polis serra tindakan selanjutnya akan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian," katanya.

Dalam kemalangan kira-kira 8 malam Sabtu lalu, dua pemandu kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Persona maut selepas terbabit kemalangan dengan treler muatan simen yang terbabas melanggar pembahagi jalan hingga memasuki laluan bertentangan.

Kemalangan itu mengakibatkan treler dan Proton Persona terbakar serta pemandu kereta rentung selepas gagal diselamatkan akibat tersepit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 10:53 PM