LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Sampel darah pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan sehingga mengorbankan dua beranak di Tebuk Rimba, Simpang 4 Semanggol pada Ahad, sudah diambil.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, ia bertujuan mendapatkan kesahihan sama ada lelaki berusia 28 tahun itu mabuk atau tidak ketika kejadian.

Menurutnya berdasarkan keterangan pegawai penyiasat, tiada gejala mabuk dilihat pada mangsa.

"Bagaimanapun darah pemandu diambil untuk analisa kimia bagi mengesan kehadiran alkohol," katanya dihubungi hari ini.

Juna berkata siasatan awal mendapati semasa kejadian berlaku, pemandu terbabit yang bekerja sebagai doktor di Hospital Taiping difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Menurutnya sebaik tiba di tempat kejadian, kereta jenis Toyota Yaris dipandu secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dinaiki dua beranak berkenaan.

"Akibat kejadian, pemandu itu mengalami luka di dada, tangan dan kaki kanan dan menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping.

"Sementara pemandu lori berusia 37 tahun dan ibunya berusia 64 tahun yang juga peniaga sate meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Tambahnya lagi siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua beranak, Shahren Ismail, 37, dan ibunya Zainab Alias, 64 maut dalam kemalangan di Kilometer 93.5 Jalan Ipoh-Butterworth, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 7:29 PM