FOTO dipetik daripada Twitter LLM
FOTO dipetik daripada Twitter LLM
Muhammad Apendy Issahak


Taiping: Pemandu treler parah manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua treler di Kilometer 216.9 lebuh raya PLUS, arah utara, di sini, pada 4.40 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata kemalangan membabitkan dua treler yang membawa muatan gegelung aluminium dan jentera berat.

"Siasatan awal mendapati treler membawa muatan gegelung aluminium yang dipandu lelaki 40-an kemalangan dengan treler bawa muatan jentera yang dipandu lelaki 54 tahun.

"Kedua-dua kenderaan berat itu daripada arah selatan ke utara dan kemalangan dipercayai berlaku apabila treler muatan gegelung aluminium hilang kawalan dan merempuh belakang treler muatan jentera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Harrith Kam berkata, pemandu berusia 42 tahun parah dan dirawat di Hospital Taiping.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca kemalangan," katanya.

Sementara itu berdasarkan laman Twitter PLUS dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kemalangan itu mengakibatkan laluan di kawasan berkenaan terhalang dan tidak boleh dilalui kenderaan lain.

Kemalangan menyebabkan kesesakan trafik di kawasan berkenaan sejauh lebih 4 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 11:06 AM