FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Asrol Awang


Kuantan: Seorang jurukimpal di daerah ini kerugian RM183,600 akibat terpedaya sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang wanita tempatan melalui Facebook.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata disebabkan sayang dan merancang untuk berkahwin, lelaki berusia 55 tahun itu sanggup membuat pinjaman peribadi.

Katanya, selain itu, mangsa turut mengeluarkan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Berdasarkan laporan, mangsa berstatus duda yang kematian isteri berkenalan dengan seorang wanita melalui Facebook pada Januari lalu.

"Mangsa berkenalan dengan lebih rapat dan berbincang untuk berkahwin. Pada awal Februari lalu, mangsa membuat pindahan wang secara dalam talian ke akaun suspek berjumlah RM25,600.

"Ia bertujuan wang itu digunakan untuk pembayaran kos kiriman wang AS$600,000 (RM2,642,187) untuk perbelanjaan perkahwinan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, selepas itu, mangsa membuat 10 kali transaksi pembayaran kepada dua akaun bank yang berbeza sebagai penambahan perbelanjaan perkahwinan.

Katanya, mangsa kemudiannya terus didesak untuk memasukkan RM30,000 untuk tujuan bayaran kepada Bank Negara bagi menyelesaikan masalah kiriman wang terbabit.

"Tetapi mangsa enggan berbuat demikian dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 4:51 PM