GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Seorang peniaga sayur lelaki kerugian RM125,000 selepas terpedaya penipuan penyamaran sebagai rakan karib.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia 38 tahun dari Bentong menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp pada 13 Februari lalu.

Katanya, suspek menggunakan nama dan gambar kenalan rapat mangsa.

"Suspek meminta bantuan pinjaman wang daripada mangsa. Akibat percaya dan ingin membantu, mangsa membuat 16 transaksi ke lima akaun berlainan.

"Berikutan itu, mangsa kerugian berjumlah RM125,000 yang juga wang simpanannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, dalam kes kedua di Bentong pada 13 Februari lalu, seorang warga emas berusia 71 tahun kerugian RM86,000 selepas terpedaya dengan `Love Scam'.

Katanya, berdasarkan laporan, wanita terbabit terpedaya dengan kenalan di alam maya.

"Suspek kononnya mengirimkan hadiah kepada mangsa dan mangsa dikehendaki berurusan dengan penghantar barangan.

"Mangsa mula sedar ditipu selepas melakukan transaksi kelima akaun berlainan.

"Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM86,000 yang juga wang simpanan dan wang pencen arwah suaminya.

"Dua kes ini disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket penipuan penyamaran dan Love Scam.

"Jangan mudah terpedaya dengan janji manis. Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.myterlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 4:46 PM