HAJIJI selepas sesi majlis penyerahan bantuan. FOTO Rafiqah Dahali
HAJIJI selepas sesi majlis penyerahan bantuan. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk membuat keputusan berhubung status empat Ahli Parlimen BERSATU Sabah yang mengumumkan keluar parti, baru-baru ini.

Pengerusinya merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya yakin Speaker Dewan Rakyat akan membuat keputusan terbaik di samping pihaknya juga maklum mengenai pelbagai spekulasi diluar berhubung perkara itu.

"Itu terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat buat keputusan. Mereka (empat Ahli Parlimen Sabah keluar dari BERSATU) juga telah menghantar jawapan kepada Speaker.

"Banyak spekulasi diluar, bermacam-macam tetapi kita yang didalamnya tahu rentetan dan keadaan yang berlaku. Tapi saya yakin Speaker akan buat keputusan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Bencana Alam kepada penduduk kampung Tanjung Aru Baru bertempat di Balai Raya Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmy Yahya, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Noorliza Awang Alip.

Dalam pada itu, Hajiji turut ditanya pemberita mengenai perkembangan parti baharu yang bakal ditubuhkan selepas semua wakil rakyat dari BERSATU mengumumkan keluar parti.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya akan membuat pengumuman mengenainya dalam tempoh terdekat ini.

Sebelum ini, media melaporkan pemimpin BERSATU Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti terbabit.

Ia termasuk empat Ahli Parlimennya iaitu Datuk Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Hajiji dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan terbabit dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini khususnya di Sabah.

Susulan itu, Hajiji mengumumkan pihaknya akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu sebagai platform menggantikan BERSATU.

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee turut dilaporkan parti menghantar notis kepada Johari untuk memastikan berlaku kekosongan 'luar jangka' membabitkan empat kerusi Parlimen terbabit.

Ronald yang juga ketua BERSATU Sabah berkata, permohonan sudah dibuat kepada Speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 11:56 AM