Norzamira Che Noh


Shah Alam: Gedung tekstil terkemuka, Jakel cawangan Shah Alam hampir musnah dalam kejadian kebakaran pada awal pagi ini.

Kebakaran itu difahamkan memusnahkan bahagian dalam bangunan lot kedai tiga tingkat yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 7.08 pagi.

Susulan itu katanya, sepasukan pegawai dan anggota serta aset daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, BBP Kota Anggerik, BBP Subang, BBP Kota Raja, BBP Damansara, BBP Sungai Pinang dan BBP Puchong dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan satu lot kedai tiga tingkat yang sedang terbakar 80 peratus.

"Api berjaya dikawal dalam tempoh sejam dan bahagian dalam kedai didapati musnah dalam kebakaran ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba kini dalam tindakan pemadaman bara api di bawah timbunan kain.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit, setakat ini dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 9:46 AM