Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor akan menggerakkan Unit Anjing Pengesan K9 esok bagi menjalankan kerja-kerja forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian kebakaran di Wisma Jakel, Seksyen 7 di sini.

Pengarahnya, Datuk Norazam Khamis berkata setakat ini punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan khidmat dua ekor anjing pengesan khas akan digunakan untuk mengenal pasti punca kebakaran.

"Kita akan panggil pasukan K9 untuk mengesan jika adanya perbuatan khianat, 'accelerant' (bahan yang mempercepat perebakan api) dan sebagainya untuk memastikan punca sebenar kebakaran.

"Apabila api padam sepenuhnya, barulah unit K9 boleh bertindak untuk melakukan siasatan bagi mengenal pasti jika adanya perbuatan khianat terhadap Wisma Jakel," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, laporan penuh mengenai siasatan kebakaran berkenaan akan diperoleh dalam tempoh sebulan dan secara keseluruhan gedung tekstil itu terbakar 100 peratus.

Sementara itu, Norazam berkata, pada peringkat awal pihaknya berjaya memadam api di bangunan lima tingkat (Wisma Jakel) sebelum ia merebak stor penyimpanan barangan jualan yang meliputi kain, baju, permaidani dan bahan-bahan untuk menjahit.

"Keseluruhannya kita berjaya mengawal api pada jam 3 petang dan kesukaran kita adalah untuk memasuki bangunan di tingkat tiga kerana terdapat barangan yg begitu padat di stor tempat penyimpanan.

"Ini menyebabkan asal yang tebal dan panas jadi ia boleh menyebabkan risiko kepada anggota justeru kita mengatur strategi dengan Aerial Ladder Platform (ALP).

"Anggota kemudian berjaya masuk daripada sebelah kiri dalam bangunan untuk melakukan pemadaman dari dalam," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai seorang anggota bomba bantuan yang tercedera ketika membantu operasi pemadaman, Norazam berkata anggota berkenaan mengalami kecederaan ringan selepas batu panas dari bangunan pecah dan memasuki bajunya.

"Anggota berkenaan tidak mengalami kecederaan serius, mungkin dia hanya terkejut. Bagaimanapun kita sudah menghantarnya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Norazam memaklumkan seramai 89 pegawai dan anggota dari enam balai terbabit dalam operasi memadam kebakaran yang disyaki bermula pada jam 7 pagi tadi.

Katanya, pasukannya juga menggunakan lima unit 'water tanker' berkapasiti 20,000 liter dalam operasi berkenaan.

WISMA Jakel di Shah Alam yang terbakar awal hari ini. FOTO Faiz Anuar.
WISMA Jakel di Shah Alam yang terbakar awal hari ini. FOTO Faiz Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 5:51 PM