Antara pelaksanaan Operasi Alkohol yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sepanjang Januari hingga Disember 2022. FOTO Ihsan Polis PJ
Antara pelaksanaan Operasi Alkohol yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sepanjang Januari hingga Disember 2022. FOTO Ihsan Polis PJ
Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Seramai 246 individu ditahan kerana memandu dengan pengaruh alkohol sepanjang Operasi Alkohol dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya antara Januari hingga Disember tahun ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebanyak 85 operasi dijalankan di daerah ini, dan seramai 9,741 individu diperiksa.

Katanya, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Pindaan 2020 iaitu memandu atau menjaga kenderaan motor dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan.

"Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000, penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun.

"Sehingga kini, seramai 194 individu sudah dituduh di Mahkamah Petaling Jaya di bawah Seksyen 45A (1) APJ 1987 itu, manakala baki pertuduhan di bawah seksyen yang sama masih dalam tindakan lanjut untuk proses pertuduhan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan statistik, sepanjang tahun ini seramai 246 individu yang ditahan membabitkan Melayu (12 tangkapan); Cina (115); India (103) dan bangsa lain (10), sementara warga negara asing seramai enam tangkapan.

Beliau berkata, walaupun banyak operasi alkohol sudah dijalankan, namun masih terdapat pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan dengan dipengaruhi alkohol dalam badan.

Justeru, katanya, pihak IPD Petaling Jaya mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya khususnya di kawasan pentadbiran Petaling Jaya terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 6:58 PM