GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Seramai 147 individu memandu bawah pengaruh alkohol ditahan menerusi 39 Operasi Alkohol yang dijalankan sejak Januari hingga Mei lalu di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, seramai 7,352 individu diperiksa dalam operasi berkenaan sepanjang tempoh itu.

"Semua individu ditahan disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengambil alkohol melebihi had ditetapkan.

"Bagi kesalahan ini, ia memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000 dengan penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, sebanyak 48 pertuduhan mengikut seksyen berkenaan dijalankan di Mahkamah Petaling Jaya dengan baki pertuduhan di bawah seksyen sama masih dalam tindakan lanjut untuk proses pertuduhan.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya giat menjalankan Operasi Akohol sepanjang tahun mengikut perancangan ditetapkan.

"Justeru itu, kami mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Ia juga bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya khususnya di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 6:02 PM