Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Tiga ribu mililiter (ml) air ketum adalah antara barang larangan dirampas dalam operasi cegah jenayah sempena Tahun Baharu Cina 2022 dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Fakhruddin Abdul Hamid berkata, selain 3,000 ml ketum itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dalam operasi lebih empat jam bermula kira-kira 11 malam semalam hingga awal pagi tadi.

Beliau berkata, antara dadah dirampas adalah satu ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 1,018 gram (g).

"Turut dirampas, dua paket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja kira-kira seberat 15.02 g dan satu paket plastik berisi bahan disyaki syabu dianggarkan berat 3.30 g.

"Selain itu, polis turut merampas satu plastik lut sinar berisi 14 biji disyaki pil ekstasi kira-kira seberat 5.30 g, satu aluminium foil yang mengandungi 10 biji disyaki pil Erimin 5 dianggarkan seberat tiga g dan tujuh paket lut sinar disyaki dadah jenis heroin seberat kira-kira 9.10 g," katanya.

Menurutnya, lapan suspek turut ditahan dan dibawa ke balai polis dalam operasi cegah jenayah berkenaan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, katanya, pada masa sama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Petaling Jaya turut ditugaskan dalam Op Alkohol dan Samseng Jalanan.

Katanya, sejumlah 34 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu (12), cukai jalan tamat tempoh (dua) dan kesalahan nombor pendaftaran (lapan).

"Antara kesalahan lain seperti tiada cermin sisi, tidak mempunyai perlindungan insurans, tidak mempamerkan P, ubah suai ekzos, ubahsuai struktur dan peralatan serta gagal menunjukkan lesen.

"Polis turut menahan enam individu atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol mengikut di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan) 2020," katanya.

Secara keseluruhan sepanjang operasi, katanya, sebanyak 801 kenderaan diperiksa membabitkan pemeriksaan terhadap 920 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 9:42 AM
ANGGOTA trafik memeriksa pemandu kereta dan penunggang motosikal ketika Operasi Cegah Jenayah sempena Tahun Baru Cina di Jalan Utara, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANGGOTA trafik memeriksa pemandu kereta dan penunggang motosikal ketika Operasi Cegah Jenayah sempena Tahun Baru Cina di Jalan Utara, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim