PEMANDANGAN atas kawasan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, ketika tinjauan foto Bernama bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia. FOTO Bernama.
PEMANDANGAN atas kawasan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, ketika tinjauan foto Bernama bersama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia. FOTO Bernama.
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan berlaku dua kegagalan cerun di lokasi kejadian tanah runtuh di laluan B66 Seksyen 13.0 Jalan Batang Kali - Genting Highlands dengan sela masa 20 minit hingga 30 minit di antara keduanya.

JKR dalam kenyataan hari ini berkata, itu dapatan awal Pasukan Forensik dari Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR yang melaksanakan pemeriksaan awal di lokasi kejadian.

"Anggaran dimensi kegagalan cerun adalah 70 meter (m) (ketinggian), 120m (lebar) dan 330m (panjang) dengan anggaran isipadu tanah runtuhan 450,000 meter padu," katanya.

Menurut JKR, mod kegagalan adalah kombinasi 'retrogressive translational' dan aliran puing.

"Berlaku dua kegagalan cerun di lokasi yang sama dengan sela masa 20 minit hingga 30 minit di antara keduanya.

"Kegagalan cerun yang pertama berkemungkinan besar berlaku di kawasan perkhemahan.

"Kegagalan itu mengakibatkan kawasan di kaki (toe) cerun jalan raya menjadi lemah, mengakibatkan berlakunya runtuhan susulan (kedua) yang lebih besar.

"Aliran air bawah tanah yang aktif dikesan di lokasi cerun runtuh terutamanya dalam kawasan tapak perkhemahan," katanya.

JKR berkata, pemeriksaan visual pada lokasi jalan dan cerun di seksyen berkenaan mendapati longkang jalan sedia ada dalam keadaan bersih dan kering serta tidak tersumbat, yang mana menunjukkan tiada masalah pada sistem perparitan jalan.

"Bahu Jalan B66 Seksyen 13.0 dari arah Goh Tong Jaya ke Batang Kali sudah jatuh dan rosak akibat runtuhan cerun.

"Turut kelihatan rekahan (tension cracks) secara memanjang pada lorong kiri laluan menghala ke Batang Kali, kesan dari runtuhan cerun.

"Longkang tepi jalan juga didapati telah terputus dan jatuh," katanya.

Kata jabatan itu, berdasarkan hasil penemuan itu, adalah dijangka ketepuan tanah dan tekanan air liang tanah yang tinggi akibat pengumpulan air bawah tanah pada bahagian bawah cerun di kawasan perkhemahan melemahkan kaki cerun jalan B66 dan seterusnya menyebabkan kegagalan retrogresif kepada cerun jalan.

"Bagi mengelakkan runtuhan susulan, JKR sudah melaksanakan kerja pencegahan pembaikan jangka pendek iaitu menutup segera permukaan cerun yang terdedah dengan 'tarpaulin sheet'.

"Membuat pengalihan air saliran permukaan dan longkang sedia ada dari longkang sebelah kiri ke longkang sebelah kanan untuk mengelakkan air larian masuk ke dalam kawasan runtuhan dan pemasangan 'tilt sensor' bagi pemantauan pergerakan tanah di tapak lokasi berkenaan," katanya.

JKR turut memaklumkan pihaknya sentiasa prihatin akan keselamatan dan keselesaan pengguna.

JKR berkata, tindakan siasatan tanah terperinci dijangka dilaksanakan di tapak sejurus selesai operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

"JKR sentiasa prihatin akan keselamatan dan keselesaan pengguna," katanya.

Insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya pada jam 2.42 pagi Jumaat lalu setakat ini mengorbankan 24 daripada keseluruhan 94 mangsa, 61 orang selamat dan sembilan masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 5:14 PM