AWIE
AWIE
Oleh Sarah Zulkifli

Ampang: Isteri penyanyi rock Awie, Rozana Misbun memberitahu Mahkamah Majistret di sini, semalam, dia tidak sempat membayar semula wang suaminya kerana penyanyi itu sudah merampas beg mewah miliknya selepas kejadian dia dipukul lelaki terbabit di rumah sewa mereka di Taman Ukay Bestari, 2 Jun tahun lalu.

Saksi keempat pendakwaan itu berkata, dia berjanji akan membayar semua wang milik Awie dalam tempoh dua minggu selepas kejadian itu dengan menjual semula beg mewah kerana khuatir dirinya akan dipukul sekali lagi.

Selepas kenyataan itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, yang duduk di dalam kandang tertuduh berkata, dalam nada perlahan “pembohong”.

Wanita berusia 37 tahun itu berkata, dia hanya membeli satu beg mewah sahaja sepanjang perkahwinan mereka dan memaklumkan bahawa wang RM250,000 yang diminta Awie tidak wujud, sebaliknya ia adalah pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang hanya matang dan boleh dikeluarkan pada tahun depan.

Rozana menjawab semua soalan pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene dalam perbicaraan kes berkenaan di sebalik tabir.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 8:27 AM