Awie  hadir pada perbicaraan  di Mahkamah Majistret, Jalan Duta, semalam.
Awie hadir pada perbicaraan di Mahkamah Majistret, Jalan Duta, semalam.

Kuala Lumpur: Penyanyi rock Awie akan menghantar representasi ke Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji semula pertuduhan dihadapinya, iaitu menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun di depan kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalan Tun Razak, dua tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Hazman Harun yang mewakili Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, dalam prosiding kes di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hazman berkata, pihaknya sudah menerima dokumen kes yang berkaitan daripada pihak pendakwaan dan memohon mahkamah satu tarikh singkat kerana bercadang akan mengemukakan representasi.

“Ini berikutan terdapat perkembangan baru dalam kes membabitkan anak guam saya,” katanya.

Majistret Husna Dzulkifly kemudian menetapkan 16 Mac ini sebagai pengurusan kes selain akan menetapkan tarikh perbicaraan jika tiada sebarang perkembangan terbaru mengenainya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar.

Pada 15 Februari lalu, Awie mengaku tidak bersalah atas kesalahan yang dilakukan pada jam 3 petang, 2 Jun 2014 dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Isnin lalu, Mahkamah Majistret Ampang melepas dan membebaskan penyanyi yang popular dengan lagu Tragedi Oktober itu daripada tuduhan mencederakan Rozana selepas dia membayar kompaun RM10,000 kepada wanita itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Ayuni Izzati memerintahkan demikian terhadap Awie selepas pihak pendakwaan dan pembelaan berjaya mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan secara bersama kes berkenaan mengikut Seksyen 260, Kanun Tatacara Jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 7:08 AM