Dr Zaliha Mustafa, (tengah) bersama Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
Dr Zaliha Mustafa, (tengah) bersama Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Isu membabitkan penghijrahan graduan perubatan ke luar negara termasuk di Singapura bagi memulakan kerjaya mereka adalah di luar kawalan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, isu ini tidak boleh diselesaikan secara 'silo' sebaliknya ia memerlukan penyelesaian secara integrasi membabitkan semua kementerian berkaitan lain.

Beliau berkata, bagi pihak KKM sendiri, kementerian itu sudah melakukan usaha termasuk membuat permohonan terhadap penambahan pegawai perubatan secara berterusan.

"Ada yang di luar kawalan KKM...yang penting bagaimana kita boleh membantu mereka....permohonan (jawatan) dibuat secara berterusan dan Khairy Jamaluddin (bekas Menteri Kesihatan) juga turut mohon bersama," katanya kepada BH, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan dibuat bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) Dr Adeeba Kamarulzaman bahawa Malaysia didakwa kehilangan sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik dari UM, yang memutuskan untuk berkhidmat ke luar negara terutama Singapura, selepas habis pengajian, setiap tahun.

Situasi itu membuatkan institusi pendidikan tempatan juga 'kerugian' RM1 juta anggaran kos yang digunakan bagi melatih setiap pelajar bidang pendidikan di negara ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, negara berdepan dengan situasi yang mana graduan perubatan dari dalam dan luar negara disifatkan terlalu ramai.

Beliau berkata, ramai juga graduan perubatan dari Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed Malaysia) contohnya turut bekerja di United Kingdom kerana ijazah mereka diiktiraf Majlis Perubatan Am (GMC).

"Bagaimana kita nak menghalang graduan perubatan terbaik ini untuk bekerja di Singapura?

"Kita perlu menyediakan pilihan kepada mereka sebab kebanyakan ibu bapa yang mengeluarkan perbelanjaan (bagi pendidikan perubatan).

"Kalau kerajaan yang taja mereka ada kontrak dalam perkhidmatan," katanya yang turut menyatakan KKM sebelum ini sudah meluluskan 4,053 daripada 8,672 permohonan awal ke jawatan tetap membabitkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak tahun ini.

Dr Noor Hisham sebelum ini mengakui KKM berdepan kekurangan dana, kakitangan dan gaji serta beban kerja yang tinggi selain terlalu sibuk dengan kemudahan awam yang sesak.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak perlu berusaha lebih gigih untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan awam bagi meningkatkan pembiayaan dan menambah baik bilangan kakitangan penjagaan kesihatan.

"Usaha juga perlu dibuat bagi menambah baik tangga gaji dan jawatan di kemudahan kesihatan kita, semuanya di luar kawalan KKM...saya percaya apabila ada kemahuan, sentiasa ada jalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 5:19 PM