Kuala Lumpur: Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik dari Universiti Malaya (UM) yang memutuskan untuk berkhidmat ke Singapura selepas habis pengajian, setiap tahun.
Berikutan keadaan itu, institusi pendidikan tempatan berkenaan juga 'kehilangan' RM1 juta membabitkan kos yang digunakan untuk melatih setiap pelajar ini.
Perkara itu didedahkan bekas Dekan Fakulti Perubatan UM Dr Adeeba Kamarulzaman yang menyifatkan situasi itu berlaku berikutan doktor dan pegawai perubatan baharu berdepan dengan kekurangan jawatan yang disediakan di dalam negara dan ketiadaan laluan latihan yang jelas.
Beliau berkata, perkembangan itu bertambah buruk apabila negara bersedia menghantar pegawai perubatan ke United Kingdom bagi mengatasi kekurangan kakitangan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (NHS) di sana.
"Disebabkan kekurangan jawatan dan laluan latihan yang jelas, setiap tahun UM kehilangan sekurang-kurangnya 30 (graduan) yang terbaik dan cemerlang kepada Singapura.
"Ingat, kos hampir RM1 juta (digunakan) untuk melatih setiap pelajar ini. Kini, kita juga nampaknya akan membantu mengatasi kekurangan kakitangan NHS dengan menghantar pegawai perubatan kita ke United Kingdom," katanya melalui Twitter, di sini.
Kenyataan dibuat Adeeba itu dipercayai bagi merujuk kepada perjanjian dimeterai di antara Malaysia dan UK yang mana kakitangan penjagaan kesihatan Malaysia boleh menjalani latihan di UK dan bekerja dengan NHS di sana.
Pada masa sama, Adeeba berkata, penghijrahan kakitangan perubatan ke luar negara bukan hanya membabitkan doktor dan pegawai perubatan namun juga golongan jururawat.
Adeeba turut menyatakan kegusaran bahawa masalah penghijrahan doktor dan pegawai perubatan baharu ke luar negara akan berlarutan selagi tiada usaha serius untuk menangani isu terbabit.
Beliau berkata, atas dasar itu kerajaan digesa untuk mengambil serius rungutan kakitangan penjagaan kesihatan bagi menangani isu penghijrahan golongan profesional berkenaan.
Katanya, isu berhubung kekurangan jawatan dan laluan latihan yang jelas di Malaysia dibangkitkan ramai doktor muda tempatan yang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) secara kontrak.
"Saya tidak menyalahkan golongan doktor muda dan baharu ini kerana saya juga akan membuat perkara yang sama di mana adanya peluang lebih baik.
"Kita yang mengecewakan mereka. Bagaimanakah kita boleh berharap untuk membina sistem kesihatan yang berdaya tahan dan bertaraf dunia apabila kita berdepan dengan isu penghijrahan ini," katanya.
Isu membabitkan ketiadaan jawatan dalam kalangan pegawai perubatan baharu mula timbul apabila golongan ini yang berkhidmat secara kontrak tidak disambung perkhidmatan kepada jawatan tetap.
Sebelum ini, KKM pada Februari lalu mengumumkan bahawa 4,186 pekerja penjagaan kesihatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap dalam kementerian itu.
Jumlah ini termasuk 3,586 pegawai perubatan, 300 doktor gigi dan 300 ahli farmasi.
Pada Jun, lebih 8,000 pegawai perubatan ditemu duga selepas pegawai kontrak menggesa untuk jawatan tetap.
Walaupun KKM tidak memberikan angka yang tepat, terdapat kira-kira 30,000 pegawai kontrak sedang berkhidmat.