Dr Zainal Adwin
Dr Zainal Adwin
Yusmizal Dolah Aling


TARIK balik kelonggaran syarat kelulusan Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia bagi pelantikan kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan UD41 di KKM.

Gesaan itu dibuat Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara Malaysia (AKULN) yang menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam menetapkan tahap kemahiran BM yang lebih tinggi sekurang-kurangnya kepujian dalam BM peringkat SPM untuk pelantikan ke jawatan Pegawai Perubatan di kementerian berkenaan.

Naib Pengerusinya, Dr Zainal Adwin Zainal Abiddin berkata, kelonggaran syarat seperti diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga tidak membantu menyelesaikan permasalahan lambakan graduan perubatan yang menunggu sehingga sembilan bulan ke satu tahun untuk mendapat tempat latihan siswazah.

"Mereka ini tergolong dari pelajar-pelajar cemerlang dari institusi masing-masing dan sudah mengikuti keperluan lulus Bahasa Melayu seperti ditetapkan dahulu. Seharusnya keutamaan perlulah diberikan pada mereka yang memenuhi syarat ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ia adalah reaksi terbaru selepas beberapa pihak termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) turut memberi pandangan semalam mengenai kelonggaran syarat hanya lulus BM untuk membolehkan mereka dilantik sebagai pegawai perubatan UD41 secara kontrak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 1:30 PM