GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneliti isu yang timbul berhubung graduan bidang perubatan yang dikatakan berhijrah ke negara lain sebaik tamat pengajian dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap isu akan dilihat dan punca serta jalan penyelesaian yang seimbang antara graduan dan keperluan KKM akan dicari.

"Kita akan berbincang dan minta KKM maklum berapa banyak unjuran-unjuran tempat yang ada dan berapa ramai graduan yang perlu kita sediakan.

"Kadang-kadang kita hadkan pengambilan pelajar perubatan kerana kita tahu pada akhirnya apabila mereka keluar nanti, kerajaan tidak dapat sediakan pekerjaan kerana keperluan negara juga ada hadnya. Jadi nanti ramai pelajar yang layak ambil perubatan pula akan lahirkan rasa tidak puas hati kenapa kerajaan hadkan tempat.

"Sebab itu, kita terpksa fikir secara seimbang antara kehendak tuntutan pelajar yang sangat berminat untuk ambil jurusan itu dengan apa yang nak jadi pada mereka apabila mereka tamat pengajian nanti," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Faizin di Felda Air Tawar 2 di sini, hari ini.

MOHAMED Khaled (depan, empat kiri) bersama penduduk Felda Air Tawar 2 selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Faizin. FOTO Izz Laily Hussein
MOHAMED Khaled (depan, empat kiri) bersama penduduk Felda Air Tawar 2 selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Faizin. FOTO Izz Laily Hussein

Terdahulu, bekas dekan Universiti Malaya (UM), Dr Adeeba Kamarulzaman dalam satu ciapan di Twitternya mendedahkan sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik yang dilahirkan universiti berkenaan meninggalkan Malaysia saban tahun.

Beliau mendakwa, keadaan itu berlaku berikutan kegagalan kerajaan menyelesikan isu dalaman kakitangan penjagaan kesihatan dan berharap kerajaan mengambil serius rungutan kakitangan penjagaan kesihatan untuk membendung brain drain (perhijrahan cendekiawan) berkenaan.

Mengulas lanjut isu itu, Mohamed Khaled berkata, situasi itu berlaku disebabkan adanya tawaran dari luar negara dan dipohon graduan tempatan berikutan isu penempatan dalam negara sendiri.

"Apabila graduan tamat pengajian, memang ada yang buat permohonan di pelbagai tempat, termasuk luar negara. Memang ikut kebiasaan, daripada jumlah keseluruhan graduan perubatan ini, memang mereka biasa lakukan (berhijrah ke luar negara).

"Ini kerana, isunya adalah soal penempatan yang tidak mencukupi atau pun yang memang tiada sebenarnya," katanya.

Menurut beliau, keadaan itu sebenarnya boleh dilihat dari sudut lain iaitu ia menggambarkan bagaimana tahap dan mutu pembelajaran dan pengajaran bidang perubatan di negara ini boleh diterima di negara lain.

"Kita perlu lihat dari sudut bagaimana kita boleh bekalkan bakat pada negara lain juga, selain negara lain yang hantar pelajar mereka untuk belajar di sini, kita juga boleh bekal bakat pada mereka yang memerlukan kepakaran dan sebagainya.

"Memanglah, apabila mereka keluar dari negara, segala sumber dan perbelanjaan yang kita sudah lakukan pada mereka akan menjadi sia-sia, tetapi, pada masa yg sama, kita juga sedar akan kesulitan dan masalah yang dialami mereka," katanya.

Berita berkaitan:
Isu penghijrahan graduan perubatan ke luar negara di luar kawalan KKM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 4:32 PM