Dr Rohaizat Yon sebak sempena hari terakhir selepas berkhidmat selama 35 tahun 10 hari ketika ditemui pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO BERNAMA
Dr Rohaizat Yon sebak sempena hari terakhir selepas berkhidmat selama 35 tahun 10 hari ketika ditemui pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


TIMBALAN Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon antara individu yang berhempas pulas selama lebih enam bulan untuk memerangi Covid-19.

Digelar Panglima Perang, Dr Rohaizat bersara secara rasmi esok selepas 35 tahun berbakti dalam perkhidmatan awam.

Tiada apa yang lebih menghibakan seorang ketua apabila perlu melepaskan 'orang kanan' yang bersama-samanya memerangi pandemik ini.

Sejak Covid-19 dikesan, Dr Rohaizat antara mereka yang setia menemani Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian Covid-19 bagi berkongsi perincian terkini pandemik terbabit.

Menyandang jawatan itu sejak 25 Mac tahun lalu, perjalanan karier Dr Rohaizat penuh warna warni malah beliau cukup berpengalaman dalam pelbagai divisyen di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Covid-19 boleh dianggap ujian paling getir sepanjang kariernya namun berjaya diharung dengan cemerlang hasil kerjasama serta sokongan warga KKM, khususnya Dr Noor Hisham.

"Dengan berat hati, ingin saya memaklumkan bahawa pada hari ini, adalah kali terakhir salah seorang panglima perang saya, Datuk Dr Rohaizat Yon, berdiri di sebelah saya pada sidang media harian Covid-19 Kementerian Kesihatan," kata Dr Noor Hisham sambil menahan sebak pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Graduan Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilahirkan pada 11 Jun 1960 memulakan karier sebagai pegawai perubatan di Johor pada 1985.

Dr Rohaizat dikenali sebagai komited dan cemerlang melunaskan tanggungjawab sehingga dianugerahi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang beberapa kali sepanjang 35 tahun dalam sektor awam.

Terima kasih dan selamat bersara Dr Rohaizat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 9:12 PM