AHMAD Tajuddin (tiga dari kiri) merasmikan Weigh in Motion System(WIM) sempena Hari Metrologi 2022 di NMIM -SIRIM, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini
AHMAD Tajuddin (tiga dari kiri) merasmikan Weigh in Motion System(WIM) sempena Hari Metrologi 2022 di NMIM -SIRIM, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini
Samadi Ahmad


Sepang: SIRIM Berhad (SIRIM) melalui Unit Perniagaan Strategiknya, Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM-SIRIM) menyarankan kerajaan melaksanakan Weigh in Motion System(WIM) bagi merakam dan merekodkan berat kasar sesebuah kenderaan ketika bergerak.

Langkah itu bertujuan bagi mengelak berlaku kerosakan jalan raya dan mendapan tanah.

Pengerusi SIRIM,Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali, berkata, sistem ini berupaya menambah baik operasi dan kecekapan pihak penguatkuasa dalam memastikan kenderaan komersial dan lori muatan berat mematuhi peraturan serta meminimumkan tugas anggota penguatkuasa dalam menjalankan operasi.

Menurutnya, sistem yang dipasang di kawasan strategik jalan Persekutuan dan lebuh raya yang menjadi laluan utama kenderaan berat ini mampu mengelak pembaziran bajet kerajaan bagi menyelenggara kerosakan jalan dan mendapan tanah.

Katanya, melalui sistem itu kenderaan yang melebihi muatan dan jumlah berat dapat dikesan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang serta saman.

"SIRIM bersedia membantu dari segi latihan, nasihat penyediaan peralatan kepada pihak penguatkuasa dan menganjurkan kursus kepada syarikat pengangkutan dalam melaksanakan sistem itu," katanya selepas merasmikan Weigh in Motion System(WIM) sempena Hari Metrologi 2022 di NMIM -SIRIM, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad dan Ketua Metrologi, Dr Osman Zakaria.

Pada program itu Ahmad Tajuddin turut melancarkan Skim Kebolehkesanan Emas bagi menyelia kualiti pengukuran ketulenan emas di Premis Ar Rahnu.

Dua lagi standard pengukuran baharu yang dilancarkan adalah 2-meter Length Comparator bagi menentukur alat sukat panjang bergaris seperti pembaris dan pita ukur.

Turut diperkenalkan adalah pH buffer dan powder sachet bagi menentukur pH meter digunakan dalam pelbagai sektor membabitkan jabatan kerajaan, universiti dan industri berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bekalan Air, universiti awam, industri tekstil, kosmetik

dan lain-lain.

Ahmad Tajuddin berkata, sistem WIM ini sudah dipraktikan oleh pengurusan Jambatan Kedua Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sejak Jun lalu dan Westports Holdings Bhd bagi memantau kontena sejak awal Januari lalu.

Menurutnya, sistem ini juga dapat mengelak berlakunya sebarang kemalangan dan kesesakan sekiranya pihak penguatkuasa mengadakan operasi di atas jalan raya.

Katanya,ia juga dapat membantu pihak pengurusan pelabuhan mengenalpasti dan menentukan berat kasar sesebuah kontena sekaligus mengelak kapal lebih muatan (SOLAS).

"Bermula awal Januari tahun depan MNIM-SIRIM akan menjadi hub latihan sistem WIM bagi Asia Pasifik termasuk negara jiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 7:20 PM