FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Jam perlu lebih kerap diselenggara mengikut Waktu Standard Malaysia (WSM) untuk memastikan ia berfungsi dengan tepat dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan.

Metrologist Kanan, Makmal Masa dan Frekuensi, Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) SIRIM Ahmad Sahar Omar berkata, WSM menjadi asas bagi pengukuran waktu sivil berdasarkan kepada Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675).

Katanya, sebarang pengukuran yang tidak mengikut akta ini dianggap batal dan tidak tepat waktunya.

"WSM diasaskan berdasarkan kepada waktu seragam sejagat (Coordinated Universal Time), diselenggara dan disebarkan oleh Makmal Masa dan Frekuensi, NMIM SIRIM.

"WSM diperlukan untuk memastikan semua jam-jam waktu di Malaysia adalah tepat dan seragam terutama untuk aktiviti dan urusan membabitkan waktu yang penting.

"Kebiasaannya, jam akan lambat atau cepat sebanyak satu hingga 10 saat dalam tempoh sehari dan bergantung kepada kualiti pengayun (quartz oscillator) yang digunakan pada jam itu, jadi jam perlu kerap diselenggara mengikut WSM," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pengguna boleh mendapatkan WSM melalui internet dengan menggunakan dua kaedah.

"Menerusi laman sesawang http://mst.sirim.my, kaedah ini digunakan untuk memenuhi keperluan umum yang tidak membabitkan peruntukan undang-undang dan penguatkuasaan, contohnya waktu siaran rancangan hiburan, rekreasi atau aktiviti peribadi.

"Dengan menggunakan server Network Time Protocol (NTP) ia lebih tepat dan pihak NMIM boleh mengeluarkan sijil pengesahan ketepatan waktu jika ia diperlukan oleh pihak pelanggan.

"Kaedah ini digunakan untuk memenuhi keperluan undang-undang dan pematuhan kepada peraturan penguatkuasaan yang memerlukan bukti saintifik dan lain-lain contohnya ketepatan penandaan masa (time stamp) pada gambar saman yang dikeluarkan oleh Kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan ketepatan penandaan masa pada sijil-sijil tandatangan digital," katanya.

Kelmarin, Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak mengeluarkan kenyataan, kariah yang berbuka puasa berpandukan laungan azan maghrib masjid itu pada Isnin lalu adalah terbatal puasa mereka.

Ini disebabkan berlaku masalah teknikal paparan jam digital di masjid pada hari berkenaan masuk waktu awal tiga minit daripada waktu sebenar.

Malah, Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid juga menjelaskan status puasa kariah yang berpandukan azan pada waktu itu terbatal dan perlu diganti.

Penggantian puasa itu tidak tertakluk kepada mereka yang berbuka di hujung atau selepas azan kerana ia dikira sudah masuk waktu berdasarkan waktu zon tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 5:19 PM