GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Faktor ekonomi yang terhenti akibat pandemik Covid-19 menyumbang kepada isu kebolehgunaan (roadworthiness) dan meningkatkan risiko kemalangan kenderaan berat.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan peningkatan hampir 30 peratus kemalangan membabitkan kenderaan barangan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 2021.

"Justeru, pembangun teknologi diseru untuk turut serta dalam menghasilkan produk teknologi yang dapat membantu memperkuat kawalan ekosistem yang berteraskan budaya selamat.

"JPJ pada masa ini juga sedang dalam fasa akhir untuk melaksanakan pengesanan muatan melalui teknologi High-Speed Weigh-in-Motion (HS WIM) dengan sokongan agensi lain dan pemain industri seperti Plus Malaysia Berhad (Plus), selain pemerkasaan jaringan kamera Awas," katanya dalam ucapan pada persidangan Keselamatan dan Teknologi Kenderaan Berat (Hevtec) di Ibu Pejabat Plus, di sini, baru-baru ini.

Forum anjuran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pada Rabu lalu itu menampilkan barisan pengurusan tertinggi badan penguatkuasaan seperti JPJ dan PDRM serta ahli panel berpengalaman luas yang terdiri daripada penyedia infrastruktur lebuh raya, ahli akademik dan pemain industri pengangkutan.

Turut dijemput menjadi panel persidangan berkenaan ialah Dr Richard Hanowski dari Virginia Tech Transportation Institute, Amerika Syarikat (AS) yang mendedahkan terdapat beberapa risiko pemanduan kenderaan berat yang hampir sama di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Miros Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, satu pendekatan yang lebih segar diperlukan.

"Saya yakin ada jalan untuk mencapainya iaitu dengan pendekatan teknologi, mewujudkan kaedah 'ganjaran dan hukuman' yang seimbang, serta membetulkan posisi atau profesionalisme kerjaya pemanduan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Plus Datuk Azman Ismail berkata, sebagai peneraju industri penyedia infrastruktur lebuh raya di Malaysia komited untuk menjadikan lebuh raya di negara ini berada dalam keadaan yang paling selamat.

"Program berteraskan pengguna komersil seperti PLUSTrack adalah salah satu usaha Plus untuk mendekatkan pihak penyedia lebuh raya dengan pengguna dalam situasi mempromosikan budaya selamat dan perjalanan selamat.

"Plus akan membawa mesej-mesej utama yang disuarakan dan dibincangkan di dalam program HEVTEC 2022 ini melalui sesi libat urus bersama ahli PLUSTrack yang bakal diadakan di wilayah utara, selatan, tengah dan juga pantai timur pada akhir tahun ini dan juga awal tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 4:42 PM