RAK kosong selepas barang keperluan diborong orang ramai yang bimbang banjir semakin buruk. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
RAK kosong selepas barang keperluan diborong orang ramai yang bimbang banjir semakin buruk. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Kebanyakan kedai runcit dan pasar raya negeri ini didapati kehabisan barang keperluan termasuk ayam dan bawang.

Tinjauan hari ini mendapati barangan asas itu habis berikutan orang ramai membuat pembelian panik sejak semalam, susulan banjir yang melanda di negeri itu.

Pasar raya di sini turut memperlihatkan banyak rak kosong dan peniaga mendakwa stok ayam tidak mencukupi disebabkan bekalan sukar dihantar akibat banjir.

Penduduk, Salamiah Abdullah, 39, berkata, dia kecewa apabila melihat banyak barang kehabisan terutama bawang serta sayur sayuran.

"Semalam saya tidak dapat keluar memandangkan jalan terputus. Hari ini air sudah surut dan saya terus keluar untuk membeli barangan makanan.

"Pada awalnya saya ke pasar namun ramai peniaga tidak berniaga mungkin disebabkan banjir dan saya pergi ke pasar raya pula.

"Namun sedikit kecewa apabila banyak barang yang kita mahu kehabisan menyebabkan saya terpaksa mencari di kedai lain pula," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Muhammad Mujahid, 42, turut berhadapan masalah sama.

"Agak terkejut juga melihat banyak rak menjual barang seperti bawang, minyak masak paket, serta makanan lain kosong. Mungkin ramai yang datang memborong kerana bimbang banjir makin teruk.

"Saya terpaksa beli apa yang ada sajalah memandangkan tidak banyak pilihan. Ayam pun tiada dan pihak pasar raya Pantai Timur memaklumkan bekalan tidak sampai kerana banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 6:23 PM