Ahmad Fitri (kiri) gesa orang ramai tidak muat naik gambar rak kosong di media sosial. FOTO NSTP
Ahmad Fitri (kiri) gesa orang ramai tidak muat naik gambar rak kosong di media sosial. FOTO NSTP
Asrol Awang


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang meminta orang ramai tidak memuat naik atau berkongsi gambar rak kosong di pasar raya di laman sosial kerana boleh mencetuskan suasana panik.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya Ahmad Fitri Ali berkata, individu atau pihak yang berkenaan perlu mendapatkan pengesahan daripada pemilik pasar raya sebelum berkongsi sesuatu di media sosial.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan tidak berlaku pembelian panik sedangkan bekalan barang keperluan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencukupi.

“Kita minta orang ramai tidak mengambil gambar atau video rak kosong dan berkongsi di laman sosial dengan mendakwa ada pasar raya kehabisan stok bekalan.

“Kita juga melakukan pemeriksaan berterusan dilakukan di semua premis bukan sahaja pasar raya, malah di kedai runcit untuk memastikan tiada berlaku kehabisan stok.

“Ketika ini, bekalan barangan keperluan harian di peringkat pemborong mampu menampung keperluan pengguna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas kesukaran mendapatkan topeng mulut dan hidup, katanya, bekalan itu semakin pulih selepas berlaku kehabisan stok bulan lalu.

“Ada pasar raya dan farmasi yang mengehadkan jualan dalam kuantiti kecil untuk membolehkan orang ramai membelinya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 7:23 PM