GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Georgetown: Dua lelaki, masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas kesalahan melakukan khianat dengan merosakkan pagar sebuah rumah, Julai lalu.

Majistret Azlan Basri turut memerintah Chua Kean Seng, 57, dan Junazry Abdul Hamid, 44, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan merosakkan harta rumah iaitu pagar rumah pengadu Ong Hsing Li, pada 1 tengah hari di Jalan Pantai Molek, Tanjung Tokong 17 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam kedua-dua tertuduh Khairul Fairuz Rahman merayu mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum, kerana tertuduh sudah insaf dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 4:52 PM