KONTRAKSI rahim yangkuatketika proses bersalin mungkin sebabkan bekalan oksigen kepada bayi terganggu.
KONTRAKSI rahim yangkuatketika proses bersalin mungkin sebabkan bekalan oksigen kepada bayi terganggu.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Jika mendapat nutrisi dan bekalan oksigen yang normal, bayi di dalam kandungan biasanya tidak menghadapi sebarang masalah atau tekanan.

Bagaimanapun, ketika proses bersalin terdapat kontraksi rahim yang kuat dan ia mungkin menyebabkan bekalan oksigen kepada bayi terganggu.

Keadaan itu yang boleh menyebabkan bayi mengalami 'fetal distress' terutama bagi ibu-ibu yang berisiko tinggi seperti lebih hari (post date) atau menghidap penyakit darah tinggi.

Menurut Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur (KL) Dr Ahmad Murad Zainuddin, jika air ketuban berwarna kehijauan seperti air tebu, ia menandakan bayi sudah 'mengeluarkan najis dalam kandungan' atau mengeluarkan 'meconium' iaitu hasil pertama kumuhan usus bayi berkenaan.

Ia adalah petanda bahawa bayi dalam keadaan tertekan atau 'distress' dan semakin pekat 'meconium' semakin bertambah risiko bayi berkenaan mendapat masalah pernafasan terutama akibat sindrom aspirasi meconium.

"Sindrom aspirasi meconium pula adalah keadaan yang membabitkan gangguan sistem pernafasan bayi yang tertelan meconium dalam proses kelahiran seterusnya memasuki paru-paru bayi berkenaan.

JANGAN panik sekiranya air ketuban pecah sebelum 37 minggu dan segera ke hospital untuk pemeriksaan.
JANGAN panik sekiranya air ketuban pecah sebelum 37 minggu dan segera ke hospital untuk pemeriksaan.

"Komplikasi terhadap bayi pula bergantung kepada banyak faktor namun jika dapat dikenal pasti dan diberi rawatan segera oleh pakar kanak-kanak, risiko komplikasi mungkin dapat dikurangkan," katanya.

Dr Ahmad Murad berkata, antara komplikasi awal yang boleh berlaku termasuk kesukaran bernafas dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, bayi cenderung untuk mendapat radang paru-paru dan ada kalanya menyebabkan tekanan yang tinggi pada salur darah di paru-paru atau 'persistent pulmonary hypertension of the newborn.'

"Kebanyakan bayi akan sembuh jika rawatan awal diberikan namun mereka juga mungkin cenderung untuk menghidapi masalah jangkitan paru-paru pada awal-awal tahun pertama kehidupan.

"Bagi yang menghidap sindrom aspirasi 'meconium' yang teruk, bayi itu mungkin akan mengalami masalah paru-paru yang kronik dan bekalan oksigen ke otak juga boleh terjejas, bagaimanapun ia jarang berlaku," katanya.

Jelas Dr Ahmad Murad lagi, bayi juga berisiko mengalami 'chorioamnionitis' atau jangkitan kuman pada cairan ketuban.

SINDROM aspirasi meconium membabitkan gangguan kepada sistem pernafasan bayi yang tertelan meconium dalam proses kelahiran.
SINDROM aspirasi meconium membabitkan gangguan kepada sistem pernafasan bayi yang tertelan meconium dalam proses kelahiran.

KEBANYAKAN bayi akan sembuh jika rawatan awal diberikan namun mereka juga mungkin cenderung untuk menghidapi masalah jangkitan paru-paru.
KEBANYAKAN bayi akan sembuh jika rawatan awal diberikan namun mereka juga mungkin cenderung untuk menghidapi masalah jangkitan paru-paru.

Kata beliau, jika bayi masih berada di dalam kandungan ibu, ia boleh menyebabkan jantungnya bergerak lebih laju dan mengakibatkan keadaan 'fetal distress' atau tanda-tanda bayi lemas di dalam kandungan.

"Selain itu, bayi berkenaan juga terdedah kepada risiko jangkitan kuman dalam darah atau 'sepsis.'

"Dalam hal ini, suhu badan mereka mungkin lebih tinggi atau demam dan bayi juga terdedah kepada risiko infeksi paru-paru atau pneumonia serta sukar untuk bernafas.

"Andai tidak dirawat dengan sempurna, ia boleh mengakibatkan jangkitan kuman yang lebih teruk membabitkan organ badan yang lain termasuk otak (meningitis), situasi itu bagaimanapun jarang berlaku dalam masyarakat kita," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya peratusan wanita yang hamil, ketuban mereka pecah sebelum 37 minggu kehamilan (kepecahan

membran praterma, prapelahiran atau PPROM), Dr Ahmad Murad berkata, ia hanya membabitkan dua hingga empat peratus daripada jumlah ibu yang mengandung.

Katanya, antara risiko kepada bayi jika air ketuban pecah awal (sebelum 37 minggu) adalah kelahiran pra matang.

"Risiko itu akan bertambah ketara jika bayi lahir sebelum 35 minggu kerana pada masa ini paru-paru mereka masih belum cukup matang selain terdedah kepada masalah sistem pernafasan seperti RDS (respiratory distress syndrome).

JIKA mendapat nutrisi dan bekalan oksigen yang normal, bayi di dalam kandungan biasanya tidak menghadapi sebarang masalah atau tekanan.
JIKA mendapat nutrisi dan bekalan oksigen yang normal, bayi di dalam kandungan biasanya tidak menghadapi sebarang masalah atau tekanan.

"Bayi pramatang juga boleh terdedah kepada risiko mudah mendapat jangkitan kuman, mudah untuk mendapat jaundice dan kurang darah (anaemia).

"Selain itu, jika air ketuban pecah melebihi tempoh 24 jam, risiko jangkitan kuman (chorioamnionitis) juga tinggi kepada bayi," katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Murad turut menasihatkan ibu hamil supaya jangan panik sekiranya air ketuban pecah sebelum 37 minggu dan segera ke hospital untuk pemeriksaan.

Jangan ketinggalan untuk membawa bersama barangan keperluan untuk bersalin dan pakai pad atau tuala wanita supaya air ketuban tidak meleleh keluar di khalayak ramai.

"Plastik atau tuala juga elok diletakkan di tempat duduk kereta bagi mengelakkan ia terkena bahagian berkenaan.

"Dinasihatkan juga supaya ibu memakai pakaian yang mudah untuk doktor melakukan pemeriksaan bahagian pelvis.

"Paling penting, perhatikan warna air ketuban untuk dimaklumkan kepada doktor yang akan memeriksa kelak," katanya.

DR Ahmad Murad
DR Ahmad Murad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 7:00 AM