TANAH runtuh antara risiko dihadapi peminat aktiviti perkhemahan.
TANAH runtuh antara risiko dihadapi peminat aktiviti perkhemahan.
Nurul Husna Mahmud


EKORAN tragedi di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor beberapa negeri menutup semua aktiviti itu sehingga diberitahu kelak.

Aktiviti perkhemahan yang biasanya dilakukan di persekitaran terbuka baik di hutan atau di pantai, risiko kemalangan boleh berlaku kepada pengunjung.

Apatah lagi kebiasaanya aktiviti ini sering dilakukan dalam satu kelompok baik keluarga atau kenalan yang meletakkan aspek keselamatan sebagai satu keutamaan.

Menurut Jurulatih Rekreasi Luar Kebangsaan, Mohd Sam Hashim yang juga pengasas Lusuh Outdoor Recreation and Survival (Loras) dalam aktiviti luar terutama perkhemahan, individu terbabit perlu lebih teliti dengan pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi aspek keselamatan baik ketika bermalam atau berekreasi.

Pemilihan lokasi terutama mendirikan khemah sangat penting kerana ia adalah tempat perlindungan sementara daripada sebarang ancaman baik faktor semula jadi atau haiwan.

"Dalam persekitaran mana pun baik di hutan, di sungai atau pantai, penting untuk amalkan 3P merujuk kepada pemeriksaan persekitaran menyeluruh.

"3P adalah merujuk pandang atas, pandang bawah dan pandang keliling sebelum mendirikan khemah kerana bukan sahaja tapak, malah parameter kawasan perlu jauh dari laluan binatang, pokok dan dahan mati, tanah runtuh serta laluan air.

"Sebagai contoh jarak sungai dengan tapak 30 meter kerana kita menjangkakan ia jarak selamat terutama apabila mengambil kira kepala air atau air pasang di kawasan pantai," katanya.

Kata Mohd Sam, setiap individu perlu lebih bertanggungjawab atas keselamatan sendiri termasuk melakukan penyelidikan terutama membabitkan latar belakang operator atau tapak perkhemahan terbabit.

"Sebaik-baiknya melakukan aktiviti rekreasi seperti berkhemah perlu ada asas ikhtiar hidup yang mana pelajari kemahiran penting termasuk rawatan awal (first aid).

"Menambahkan lagi tahap keselamatan, pengunjung perlu lakukan pemeriksaan awal di persekitaran sebelum berkhemah termasuk jalan akses keluar masuk andai insiden yang tidak diingini berlaku.

"Pengunjung juga perlu semak latar belakang operator termasuk kemampuan dalam mengendalikan sistem pengurusan risiko bagi tapak perkhemahan perseorangan. Ini penting memastikan mereka berkeupayaan memberi sokongan baik ketika kecemasan," katanya.

Menyentuh mengenai musim cuti sekolah penghujung tahun yang kerap dikatakan sebagai tempoh cukup berisiko untuk bercuti, kata Mohd Sam, ibu bapa lebih jelas dengan persekitaran yang cukup terpengaruh dengan cuaca.

"Masih boleh bercuti, tetapi individu atau ibu bapa perlu peka dengan keselamatan terutama tempat percutian yang mereka pergi dan pilih.

"Bukan hanya tempat itu perlu selamat, aktiviti seperti kontak dengan air atau persekitaran perlu sentiasa terkawal. Ibu bapa kena bijak membuat penilaian dan keputusan dan ia boleh diperoleh dengan banyak membaca maklumat berkaitan insiden atau bencana.

"Perlu ada pengetahuan meliputi persiapan (sebelum insiden), ketika insiden atau bencana dan selepas insiden atau bencana. Garis panduan perlu ada dan di negara seperti Kanada atau Australia, mereka ada panduan lengkap termasuk mengajar warganya menangani situasi luar jangka.

"Sebagai contoh satu teknik diajar andai berdepan insiden tanah runtuh, antara yang boleh mereka lakukan adalah mengubah posisi badan supaya 'membulat' (seakan-akan dalam keadaan bersujud) dengan kepala dilindungi dengan selimut atau kain tebal mengurangkan hentakan atau trauma," katanya.

Berikut antara tip penting ketika memilih tempat untuk mendirikan khemah:

1. Cari tapak perkhemahan sebaik-baiknya lapang dan tanah rata.

2. Terdapat sumber atau punca air berhampiran.

3. Mendapat pancaran cahaya matahari untuk mengeringkan khemah jika basah.

4. Terlindung daripada tiupan angin secara terus.

5. Lakukan pemeriksaan di sekitar kawasan perkhemahan (untuk keselamatan) lihat aliran air, situasi tanah dan pokok. Pokok condong atau tidak lagi tegak menerangkan ada kemungkinan pergerakan tanah berlaku.

6. Jika bersantai (terutama hadir dengan keluarga atau anak kecil) cari tempat yang mempunyai kemudahan awam seperti tandas, parkir kereta dan lain-lain.

Elak mendirikan khemah di lokasi dengan tanda-tanda berikut:

1. Kawasan atau tapak khemah yang lembap dan berair (khemah basah dan ketidakselesaan berlaku).

Berkemungkinan tinggi dalam kawasan laluan air sama ada berisiko tanah runtuh atau kepala air.

2. Mendirikan khemah di kawasan tanah yang berlumpur atau permukaan tiada medium menutupi tanah.

3. Berhampiran belukar atau semak samun atau kawasan lalang (elak gangguan serangga contoh nyamuk dan agas atau haiwan kecil seperti ular.

Jika kawasan dipenuhi atau dikelilingi lalang pula berisiko apabila mudah terbakar selain menyukarkan pergerakan.

4. Di atas tebing curam (risiko tergelincir atau tanah runtuh).

5. Di kawasan berbatu yang tajam, akar pokok yang timbul di permukan tanah (merosakkan khemah).

6. Di bawah pokok mati atau berdahan mati (risiko dahan patah dan menghempap khemah).

7. Di bawah pokok besar dan daunnya rimbun (risiko dahan patah jika ribut atau hujan lebat).

8. Di bawah pokok yang beracun atau boleh mendatangkan kecederaan (seperti pokok rengas boleh menyebabkan gatal-gatal dan pokok berduri).

9. Di atas denai binatang (laluan binatang) atau lalu

an manusia. Berisiko untuk 'dilanggar' atau diserang haiwan.

10. Berhampiran tempat sumber makanan atau minum haiwan seperti ada lopak air (risiko diserang haiwan dan juga akan menakutkan haiwan).

11. Di kawasan kotor atau berhampiran sampah sarap (penyakit).

12. Terlalu hampir dengan sungai (risiko berlaku ibu air atau kepala air).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 6:45 AM