JAMBATAN gantung disediakan bagi memudahkan pengunjung dan pendaki melintasi anak sungai. FOTO: Zulfadhli Zulkifli
JAMBATAN gantung disediakan bagi memudahkan pengunjung dan pendaki melintasi anak sungai. FOTO: Zulfadhli Zulkifli
Hafiz Ithnin

KUALA Kubu Bharu di Hulu Selangor, Selangor antara destinasi pelancongan tempatan yang cukup terkenal terutama anda yang sukakan aktiviti beriadah seperti berkelah sambil berkhemah dengan keluarga, mahupun rakan-rakan.

Tapak Berkelah Sungai Pertak yang terletak di daerah itu antara dicadangkan kerana dari Kuala Lumpur ke sana hanya mengambil masa kurang dua jam sahaja.

Berkongsi pengalaman ke Tapak Perkhemahan Sungai Pertak, Zulfadhli Zulkifli memberitahu penulis ia adalah satu destinasi menarik untuk dikunjungi kerana keadaan air sungainya yang masih lagi bersih dan terdapat pelbagai kemudahan untuk mereka yang datang bersama keluarga.

Bekas Jurufoto The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) itu juga memaklumkan, dari Pekan Kuala Kubu Bharu ke tapak perkhemahan mengambil masa hanya kurang 15 minit sahaja perjalanan menaiki kenderaan.

"Sebelum tiba di kawasan perkhemahan itu, melawati pekan lama di Kuala Kubu Bharu itu sendiri sudah menghidangkan pesona santai yang menenangkan kerana terdapat banyak kawasan hijau dan sesuai untuk anda yang gemarkan aktiviti lasak.

"Selepas melepasi jambatan yang merentas Sungai Selangor yang begitu sinonim dengan empangannya, anda akan dapat melihat papan tanda ke destinasi perkhemahan itu yang berada di dalam Kampung Orang Asli Pertak," katanya.

ANTARA lokasi perkelahan tumpuan pada hujung minggu. FOTO: Zulfadhli Zulkifli
ANTARA lokasi perkelahan tumpuan pada hujung minggu. FOTO: Zulfadhli Zulkifli

Jelasnya, bagi mereka yang membawa kenderaan juga tidak perlu risau kerana terdapat jalan masuk ke kawasan itu dan boleh meletakkan kenderaan hampir dengan lokasi sungai dengan dikenakan bayaran oleh penduduk setempat.

Dinasihatkan bagi mereka yang membawa kenderaan perlu bijak meletak kereta masing-masing kerana tidak mahu mengganggu laluan keluar masuk.

"Di tapak perkhemahan berkenaan terdapat banyak 'port' untuk anda yang datang bersama keluarga atau rakan-rakan mendirikan khemah atau hamparan tikar untuk berada di sebelah sungai.

"Malah, terdapat juga pemilik tanah persendirian sedikit hujung dan perlu mendaki menyediakan tapak berkhemah berbayar. Bagaimanapun terpulang kepada anda yang datang untuk mencari tempat paling selesa bersantai sambil melayan air sungai yang masih jernih," katanya.

Katanya, bagi mereka yang membawa anak kecil juga perlu bijak mencari kawasan air yang selamat untuk bermandi-manda dan tidak terlalu dalam kerana sepanjang tapak perkhemahan itu terdapat kawasan air sungai yang cetek dan dalam.

RAMAI anak muda suka melakukan aktiviti perkhemahan di Sungai Pertak. FOTO: Zulfadhli Zulkifli
RAMAI anak muda suka melakukan aktiviti perkhemahan di Sungai Pertak. FOTO: Zulfadhli Zulkifli

"Selain itu, memandangkan ia popular sebagai destinasi riadah, aktiviti seperti barbeku juga antara yang sering dilakukan. Jadi, selepas mandi bolehlah mengisi perut dengan makanan panas siap dimasak segar di tepi sungai oleh anda sendiri," katanya.

Tidak sekadar itu, Zulfadhli berkata, jika anda ingin mencari air terjun, boleh meneruskan perjalanan sehingga melepasi jambatan terakhir dan melalui jalan denai sekitar 15 kilometer untuk ke Air Lata Medang.

"Selain itu, mencuba aktiviti lasak lain seperti menerokai laluan denai dan mendaki. Tapak perkhemahan ini juga menjadi tempat mendaki ke beberapa gunung di sekitarnya," katanya.

Anak kelahiran Kuala Kubu Bharu itu menasihatkan, meskipun Tapak Perkhemahan Sungai Pertak menjadi destinasi popular dalam kalangan pengunjung terutama warga kota, perlu sentiasa berwaspada dengan keselamatan terutama jika hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 6:45 AM