FADHLINA Sidek. FOTO Arkib NSTP.
FADHLINA Sidek. FOTO Arkib NSTP.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menerbitkan lebih 4,000 episod membabitkan pelbagai kandungan pengajaran dan pembelajaran dari peringkat Prasekolah hingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sejak dilancarkan pada 17 Februari 2021.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, selain pelbagai pengisian berasaskan kurikulum, DidikTV KPM juga menyediakan kandungan berasaskan kokurikulum bagi memenuhi keperluan murid.

Menurutnya, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan murid yang seimbang dan holistik dari pelbagai aspek .

"Kita sedia maklum, saluran ini dilancarkan dengan matlamat untuk membantu murid di seluruh negara yang terkesan akibat penularan Covid-19 sejak awal tahun 2020.

"Pelbagai pengisian yang dihasilkan menerusi saluran ini memberi impak yang besar kepada anak kita kerana meskipun tidak ke sekolah ketika itu, mereka masih dapat belajar menerusi televisyen, apatah pula guru yang menjadi penyampai terdiri daripada guru hebat," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video yang ditayangkan pada Majlis Terima Kasih Cikgu DidikTV KPM 2022, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 400 guru dan pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) yang terbabit dalam penerbitan saluran televisyen pendidikan, DidikTV KPM diraikan pada majlis berkenaan.

Program anjuran NTV7, rangkaian televisyen Media Prima Berhad (MPB) yang mengendalikan DidikTV KPM itu diadakan bagi menghargai jasa guru penyampai, jurubahasa isyarat dan pegawai KPM yang berkorban masa serta tenaga dalam memastikan program diterbitkan bukan saja bermutu, tetapi menepati kurikulum sekolah.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi sekolah), Dr Norisah Suhaili, Ketua Nazir Sekolah menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Shafruddin Ali Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif DidikTV KPM-NTV7, Seelan Paul.

Fadhlina berkata, kandungan DidikTV KPM hari ini didapati turut menjadi sumber rujukan guru di seluruh negara yang mendapat ilmu baharu menerusi pelbagai inovasi serta perkongsian teknik dalam pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan Pembelajaran Abad ke - 21.

Katanya, malah murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) juga tidak ketinggalan mendapat manfaat daripada kandungan DidikTV KPM kerana saluran ini turut menerbitkan kandungan khusus untuk Pendidikan Khas, selain menyediakan jurubahasa isyarat untuk program pendidikan arus perdana.

"Ini semua tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa pengorbanan lebih 1,000 guru penyampai , jurubahasa isyarat dan KPM yang terbabit dalam penerbitan DidikTV KPM.

"Tanpa kerjasama semua pihak, pasti agak sukar untuk saluran ini dilaksanakan dengan jaya. Bagi pihak KPM, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan semua pihak yang terbabit .

"Sekalung penghargaan juga kami ucapkan kepada Media Prima Berhad khususnya pihak produksi NTV7 yang merealisasikan saluran TV Pendidikan KPM ini yang tidak keterlaluan jika dikatakan telah menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah dalam dunia pendidikan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 9:45 PM