Redzuan Muharam


Subang Jaya: Dalam tempoh 10 bulan bersiaran, DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerbitkan hampir 3,000 episod mengandungi pelbagai pengisian khususnya kandungan berasaskan kurikulum dan juga kokurikulum.

Ia tidak dapat dilaksanakan tanpa pengorbanan 1,093 guru penyampai bagi kandungan kurikulum, manakala hampir 50 guru terbabit dalam kandungan kokurikulum yang berkongsi ilmu di luar bilik darjah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad (MPB) Nini Yusof berkata, DidikTV KPM adalah satu kebanggaan bukan sahaja kepada KPM, tetapi juga negara kerana dalam masa yang singkat berjaya menghasilkan TV Pendidikan yang memenuhi keperluan murid di seluruh negara.

"Tahniah KPM dan juga guru terbabit kerana tanpa kerjasama semua pihak, pasti sukar untuk saluran itu dilaksanakan kerana kita sedia maklum, saluran ini dilancarkan dengan matlamat membantu murid seluruh negara yang terkesan akibat penularan Covid-19 sejak awal tahun lalu," katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Terima Kasih Cikgu DidikTV KPM di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri 350 guru dan dimeriahkan dengan aktiviti cabutan bertuah serta persembahan nyanyian.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Perhubungan dan Khidmat Khas, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM, Roslina Ibrahim berkata, DidikTV KPM yang mula bersiaran sejak 17 Februari lalu memberi impak yang sangat positif kepada murid dan guru seluruh negara.

Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda negara satu situasi yang sukar dalam dunia pendidikan sehingga KPM perlu mengambil keputusan menutup sekolah semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Apabila sekolah ditutup, pastinya pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah tidak dapat dilaksanakan.

"Bagaimanapun, KPM komited untuk terus menyediakan akses pendidikan kepada lebih lima juta murid bagi membolehkan mereka mendapat pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan serta membantu mereka yang tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian.

"Justeru, saya mewakili KPM menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja MPB khususnya kru DidikTV KPM yang bertungkus lumus sepanjang 10 bulan saluran bersiaran dalam memastikan setiap rancangan diterbitkan berkualiti dan dapat disiarkan pada masa ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Guru Sejarah dan Sains Tahap Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya, Wan Mohd Akmal Wan Mansor, 32, berterima kasih kerana peluang diberikan untuk mengajar di saluran DidikTV KPM.

"Sebagai pendidik, saya sangat gembira kerana dapat berkongsi ilmu dan menimba pengalaman baru mengajar secara maya. Bagi saya, saluran pendidikan seperti DidikTV KPM wajar diteruskan kerana kerana tidak semua murid di Malaysia mempunyai telefon bimbit," katanya.

Seorang lagi guru, Juraiti Mokhtar, 36 yang mengajar subjek Pendidikan Seni Visual di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanchang, Pahang mengakui seronok dan teruja kerana diberi peluang mengajar di saluran DidikTV KPM.

"Mengajar di saluran ini menuntut mental yang kuat dan saya sendiri perlu lakukan persediaan rapi untuk rancangan mengajar sebelum bersiaran.

"Ia satu pendedahan baharu buat saya dan berharap lebih ramai guru diberi peluang sama supaya dapat berkongsi ilmu serta pengalaman yang ada," katanya.

NINI Yusof ketika majlis Penghargaan Terima Kasih Cikgu DidikTV KPM 2021 di Taman Tema Sunway Lagoon, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
NINI Yusof ketika majlis Penghargaan Terima Kasih Cikgu DidikTV KPM 2021 di Taman Tema Sunway Lagoon, Petaling Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 4:28 PM