KETUA Pegawai Eksekutif DidikTV KPM-NTV7, Seelan Paul ketika majlis Terima Kasih Cikgu 2022 di Bayswater KLCC. FOTO Aziah Azmee.
KETUA Pegawai Eksekutif DidikTV KPM-NTV7, Seelan Paul ketika majlis Terima Kasih Cikgu 2022 di Bayswater KLCC. FOTO Aziah Azmee.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meraih capaian purata empat juta penonton sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif DidikTV KPM-NTV7 Seelan Paul berkata, video di laman sosial DidikTV KPM juga mencapai hampir 30 juta tontonan.

Menurutnya, program itu diterima dengan baik dan ini semua adalah hasil daripada gabungan usaha guru, jurubahasa, pihak KPM dan tenaga kerja DidikTV.

"Hari Ini adalah hari untuk cikgu-cikgu, (kita) hargai pengorbanan anda, bukan mudah untuk menjadi cikgu terbaik di sekolah dan di TV pada waktu yang sama.

"Ia memerlukan fokus, usaha yang amat tinggi. Kami amat menghargainya dan sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih," katanya dalam ucapannya pada Majlis Terima Kasih Cikgu DidikTV KPM 2022, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 400 guru dan pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) yang terbabit dalam penerbitan saluran televisyen pendidikan, DidikTV KPM diraikan pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi sekolah), Dr Norisah Suhaili, Ketua Nazir Sekolah menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Shafruddin Ali Hussin.

Seelan berkata, Kerajaan dan KPM memulakan DidikTV susulan penularan Covid-19 tetapi kini jelas peranannya lebih daripada itu dalam usaha pendidikan negara.

"DidikTV adalah sumber untuk pelajar mendapat tunjuk ajar cikgu terbaik Malaysia, malah dapat di platform percuma TV boleh menonton (menyertai) kelas bila-bila saja dengan platform digital.

"Malah (dapat) membantu keluarga yang kurang kemampuan untuk membayar tuisyen dengan beralih ke DidikTV," katanya.

Beliau berkata, tahun ini juga ada pengisian baharu seperti rakaman Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), rancangan untuk membantu guru mengajar dan DidikTV menjadi platform untuk menjelaskan polisi dan hala tuju KPM.

Katanya, DidikTV KPM juga memperkenalkan komponen dalam pemerkasaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) yang menjadi program baharu seperti PBD, PPSi dan Sumatif.

Menurutnya, selain itu DidikTV KPM juga menerbitkan program Bina Upaya Guru yang diharap dapat membantu membuka laluan kerjaya guru di negara ini.

"Saya yakin dengan kepimpinan Menteri yang baharu, Fadlina Sidek dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin kita mampu memberikan lebih pembaharuan DidikTV KPM.

"Harapan Kami adalah DidikTV KPM akan berterusan lagi dan membantu membentuk minda dan generasi masa depan Malaysia yang menyeluruh dan bukan dari segi akademik saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 10:07 PM