Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) bukan sahaja akan menjadi saluran pelajaran kepada pelajar, malah ia diperluaskan kepada konsep mengenai sahsiah dan kehidupan.

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pelbagai pengisian dengan tema tertentu akan dihasilkan kepada murid, guru dan ibu bapa untuk menjadikan proses pembelajaran menarik dan bermanfaat.

Menurutnya, melalui satu saluran khusus, banyak program akan ditambah baik dari semasa ke semasa untuk pelajar menimba sebanyak mungkin pengetahuan bukan saja dari segi silibus mata pelajaran tetapi kehidupan secara keseluruhan.

"Sebelum ini, kita hanya ada konteks kurikulum, apabila ada satu saluran khusus dalam konteks penyampaian, ia bukan saja terhad kepada kurikulum dan ko-kurikulum tetapi sahsiah diri dan membantu murid memahami dunia secara lebih luas.

"Kalau kita lihat, DidikTV KPM ini bermula pada 7 pagi hingga 12 tengah malam, sudah tentu banyak pengisian yang boleh kita buat di dalam tempoh itu," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 hari ini.

Beliau berkata, TV Pendidikan yang dimulakan pada tahun lalu melalui saluran TV Okey dan Astro Tutor TV dilihat mampu menjadi platform kepada murid untuk belajar.

"Justeru dengan adanya saluran khusus, ia akan memberikan manfaat kepada murid-murid khususnya di luar bandar yang tiada akses kepada peranti dan Internet untuk belajar.

"Memandangkan keadaan tidak menentu, kita buat keputusan supaya ada satu saluran khusus supaya murid dapat belajar.

"Sesiapa saja yang ada televisyen di rumah boleh menonton. Kita dapati di kawasan luar bandar sebanyak 95 peratus isi rumah ada televisyen, jadi ia akan lebih menyeluruh," katanya.

Beliau berkata, KPM berharap ibu bapa dan guru akan turut serta dalam memantau slot murid-murid demi kebaikan bersama.

Katanya, sudah tentu KPM berdepan cabaran untuk menyediakan pengisian yang bermanfaat kepada murid-murid, namun yakin dengan pengalaman dan kemahiran guru-guru sedia ada.

"Kita akan tengok supaya murid-murid berasa mereka sebahagian daripada proses pembelajaran. Kita tengok sekolah rendah dari darjah satu hingga enam, sekolah menengah dari tingkatan satu hingga enam, jadi sudah tentu pengisian dari segi silibus itu penting.

"Kita tumpukan kepada pelajar untuk menduduki peperiksaan seperti 'Road To Success SPM 2020'. Dengan adanya DidikTV, saya berasa ia adalah peluang untuk pelajar," katanya.

Menurutnya, antara pengisian lain termasuklah program didik hibur, program antarabangsa khusus untuk menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik.

Katanya, murid juga dapat menunjukkan bakat mereka dan menjadi sebahagian daripada komuniti DidikTV di negara ini.

Dr Radzi ketika menjadi tetamu rancangan MHI di TV3 hari ini. Foto Aswadi Alias
Dr Radzi ketika menjadi tetamu rancangan MHI di TV3 hari ini. Foto Aswadi Alias

DIDIKTV Road To Success SPM (2020): https://www.youtube.com/playlist?list=PLL9CnO8V-9tvp_AF9MyM2eGttS6TjITng

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 9:47 AM