GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) mula dibuka di daerah ini, selepas kira-kira 18 keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas dan Taman Desaru Utama, Bandar Penawar dekat sini, terjejas akibat banjir.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam satu kenyataan berkata, dua PPS yang dibuka itu masing-masing di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Bandar Penawar.

"PPS di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dibuka pada jam 9.30 pagi tadi dengan menempatkan 26 mangsa terdiri daripada tujuh keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas.

"Manakala, bagi PPS di Dewan Muafakat Bandar Penawar juga dibuka pada jam 9.30 pagi tadi dan seramai 42 mangsa daripada 11 keluarga dari Taman Desaru Utama ditempatkan di situ," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan tiga daerah di Johor termasuk Kota Tinggi dalam zon waspada amaran hujan berterusan sehingga hari ini.

Cuaca di Kota Tinggi dilaporkan hujan dari tengah malam tadi sehingga jam 2 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 4:54 PM