Zaid Salim


Kuala Terengganu: Pusat Rekreasi Kalang Warisan (PRKW), Pulau Manis, dekat sini, terpaksa ditutup selepas dilanda banjir, susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Pengurus pusat rekreasi berkenaan, Rafi Kori berkata, tindakan itu diambil selepas pusat berkenaan dinaiki air sedalam 0.7 meter.

Menurutnya, hujan lebat menyebabkan paras air Sungai Terengganu di Kampung Pulau Manis, Serada, di sini naik secara mendadak bermula jam 11 malam, dan melimpah ke pusat rekreasi itu.

"Air naik secara mendadak berikutan hujan lebat sejak malam tadi. Tetapi kami bernasib baik kerana setiap malam kru kami sentiasa berada di kawasan ini bagi memantau keadaan.

"Jadi, sempatlah kami menyelamatkan peralatan rekreasi daripada dihanyutkan arus," katanya ketika ditemui sedang memindahkan barangan bersama kru, di sini, hari ini

Katanya, biasanya pada setiap hujung minggu, pusat rekreasi itu menerima pengunjung berganda pada hari biasa.

Susulan itu, katanya, peniaga makanan, kraftangan dan cenderahati yang beroperasi di kawasan berkenaan akan menyediakan barangan jualan lebih daripada hari biasa.

"Namun, apabila air naik secara mendadak, keadaan kelam kabut juga kerana banyak barangan perlu dialihkan ke kawasan selamat," katanya.

Menurut Rafi, kawasan berkenaan sebelum ini pernah ditenggelami banjir sedalam lebih satu meter ketika banjir besar tahun lalu.

Katanya, setiap kali banjir, pihaknya akan mengalami kerugian sehingga puluhan ribu kerana berlaku kerosakan terutama gerai jualan dan struktur serta prasarana yang berada di kawasan berkenaan.

"Banjir juga menyebabkan kami terpaksa menutup operasi dalam jangka masa panjang kerana sebahagian kawasan tapak rekreasi mengalami kerosakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 2:42 PM
Penduduk mengalihkan bot itik dan alatan rekreasi ke tempat yang lebih selamat selepas dilanda banjir akibat hujan lebat  sejak malam tadı di Pusat Rekreasi Kalang Warisan.  FOTO GHAZALI KORI
Penduduk mengalihkan bot itik dan alatan rekreasi ke tempat yang lebih selamat selepas dilanda banjir akibat hujan lebat sejak malam tadı di Pusat Rekreasi Kalang Warisan. FOTO GHAZALI KORI