ASMADI (kiri) bersama Nurul Alfian membersihkan kawasan sungai yang dipenuhi sampah di pesisir sungai, Pusat Rekreasi Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, Serada, selari dengan kempen Cintailah Sungai Kita. FOTO GHAZALI KORI
ASMADI (kiri) bersama Nurul Alfian membersihkan kawasan sungai yang dipenuhi sampah di pesisir sungai, Pusat Rekreasi Kalang Warisan, Kampung Pulau Manis, Serada, selari dengan kempen Cintailah Sungai Kita. FOTO GHAZALI KORI
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Sungai yang bersih memberi keyakinan kepada pengunjung untuk melakukan aktiviti air di Pusat Rekreasi Kalang Warisan (PRKW) Pulau Manis, Serada, di sini.

Justeru, bagi memastikan sungai yang menjadi aset penting bagi pusat rekreasi itu sentiasa dalam keadaan bersih, pengurusan pusat rekreasi berkenaan sentiasa memastikan kerja pembersihan dilakukan pada setiap hari.

Pengurus PRKW, Mohd Rafi Kori berkata, setiap hari sebelum memulakan operasi, pihaknya akan melakukan pembersihan bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.

Menurutnya, aktiviti air menjadi keutamaan di pusat rekreasi berkenaan dan ia mendapat sambutan tinggi di kalangan pengunjung tempatan dan luar negeri.

"Pelbagai aktiviti air disediakan seperti perkhidmatan bot, kayak, 'banana' bot, basikal air dan yang paling mendapat sambutan khususnya golongan kanak-kanak ialah bermain air.

"Jadi kita akan pastikan sungai di kawasan ini sentiasa bersih dan bebas daripada pencemaran dan sebarang objek yang mendatangkan kemudaratan kepada pengunjung," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, pusat rekreasi yang dibuka kepada awam akhir Julai lalu mendapat sambutan luar dugaan daripada pelancong.

"Pengunjung di sini mencecah 1,000 orang terutama pada hari minggu, Jumaat dan Sabtu.

"Justeru, kebersihan sungai diutamakan selain memberi keyakinan kepada pengunjung, ia juga memberi gambaran positif terhadap sungai di negeri ini.," katanya.

Sementara itu, pemandu bot, Asmadi Ali, 46, berkata, setiap hari dia dan rakan akan membersih sampah sarap seperti ranting kayu, plastik dan daun kering di sekitar kawasan sungai.

"Di sini saya ditugaskan sebagai pemandu bot dan membawa pengunjung mengelilingi kawasan sekitar pusat rekreasi ini, jadi bagi menjamin keselamatan penumpang dan bot, kebersihan sungai adalah perkara yang paling diutamakan," katanya

Nurul Alfian Maidin, 45, berkata, membersih kawasan sungai sudah menjadi amalan penduduk kampung berkenaan sejak dahulu lagi.

"Sungai adalah anugerah Allah dan ia seharusnya dijaga dengan baik. Kami di sini sentiasa bekerjasama membersih kawasan sungai selari dengan kempen Cintai Sungai Kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 7:44 PM