Aizat Sharif

Padang Besar: Satu kajian akan dibuat terlebih dulu sebarang dasar dibuat dalam menamatkan semua lesen premis perjudian termasuk Ejen Agensi Nombor Ramalan (NFO) di Perlis.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pihaknya perlu diberi peluang untuk mengkaji sebelum membuat sebarang keputusan membabitkan perkembangan berkaitan.

"Bagi peluang kepada kami untuk membuat kajian dari semasa ke semasa dan insya-Allah, kita akan tentukan dasarnya selepas ini.

"Kita akan terus berbincang dengan pelbagai pihak dan memastikan apa langkah kita untuk selepas ini (terhadap pembatalan lesen premis perjudian) jadi saya tak mahu nyatakan sebarang pandangan A atau B dulu terhadap perkara ini kerana kami perlu putuskan secara kolektif," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Projek Pertanian Pemacu Ekonomi Hidroponik (Peh) Jabatan Pertanian Negeri (JPN) Perlis Tahun 2022 di Pejabat JPN Perlis, Bukit Temiang, Beseri, di sini hari ini.

MOHD Shukri (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada pengusaha, Mohd Ashraf Shuib (kanan sekali) berkenaan penanaman sayur secara hidroponik di Bukit Temiang, Beseri, Padang Besar. FOTO Aizat Sharif.
MOHD Shukri (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada pengusaha, Mohd Ashraf Shuib (kanan sekali) berkenaan penanaman sayur secara hidroponik di Bukit Temiang, Beseri, Padang Besar. FOTO Aizat Sharif.

Katanya, buat masa ini pihaknya akan melihat dan mendapat pandangan daripada semua pihak sebelum membuat keputusan.

Sebelum ini, negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) terutama Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah menamatkan semua NFO dan kelab persatuan (judi) di negeri berkenaan.

Malah, tindakan yang sama juga turut didesak kepada kerajaan negeri Perlis selepas PN berjaya membentuk kerajaan di negeri itu apabila memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bulan lalu.

Sebelum itu juga, kerajaan negeri Kedah sudah pun menetapkan untuk tidak lagi menyambung lesen perjudian di negeri itu dan akan ditamatkan pada 31 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 1:49 PM