Aizat Sharif


Padang Besar: Kerajaan menyasarkan lebih 50 peratus jualan mangga Harumanis Perlis melalui platform e-dagang atau secara dalam talian pada tahun ini

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia bagi mengelakkan lambakan seperti pada tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

"Pada tahun ini, kita menjalankan promosi jualan mangga Harumanis dari Perlis secara agresif kerana tidak mahu wujud lagi isu lambakan buah berkenaan seperti tahun lalu sehingga menyebabkan kerugian kepada pengusaha.

"Disebabkan itu, kita tetap menggunakan platform e-dagang atau dalam talian di mana untuk tahun ini, kita menyasarkan lebih 50 peratus mangga Harumanis dapat dijual dalam platform ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Harumanis Perlis Kembali Lagi dan Jualan Dalam Talian di Jabatan Pertanian Perlis, Bukit Temiang, Beseri, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Perlis Nurulhisham Yaakob, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah Pertanian Datuk Mohd Nasir Warris dan Pengarah Jabatan Pertanian Perlis Hafizuddin Othman.

Katanya, pelaksanaan PKP bukan hanya menjejaskan penawaran mangga Harumanis, namun beberapa buah-buahan serta sayur-sayuran lain juga berdepan isu lambakan berikutan larangan merentas daerah dan negeri.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Namun, kita berjaya melaksanakan langkah proaktif dengan berkolaborasi bersama syarikat kurier bagi memastikan buah mangga Harumanis ini dapat sampai kepada pembelinya.

"Untuk tahun ini, kita menjangkakan pengeluaran mangga Harumanis mampu mencecah 3,336 metrik tan dengan nilai pengeluaran dianggarkan RM66.7 juta," katanya.

Pada masa sama, sebanyak 111 ladang mangga Harumanis di Perlis berjaya mendapatkan pensijilan Amalan Pertanian Baik (myGAP).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 4:37 PM