Aizat Sharif

Padang Besar: Parti Amanah Negara (Amanah) tidak menolak kemungkinan akan kembali bertanding di kerusi yang pernah dimenangi oleh bekas sekutu Pakatan Harapan (PH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, jika pada PRU-14 lalu, partinya menerusi PH bertanding di 20 kerusi Parlimen namun untuk kali ini, parti itu dijangka akan bertanding antara 30 hingga 40 kerusi termasuk kerusi yang pernah dimenangi oleh Bersatu.

"Saya tak dapat gambarkan lagi tetapi dalam perbincangan asal memang kita sasarkan antara 30 hingga 40 kerusi tetapi itu semua terpulanglah kepada pengagihan (kerusi) terlebih dahulu dimana dahulunya kita terpaksa berkongsi kerusi dengan Bersatu.

"Dasar yang kita buat sangat jelas dimana pun kerusi Bersatu, ketiga-tiga parti dalam PH boleh menuntut dan terpulang kepada perbincangan di peringkat negeri masing-masing

"Alhamdulilah, tidak timbul isu antara parti komponen dalam PH terhadap pemilikan semula kerusi milik Bersatu ini kerana semuanya sudah selesai," katanya selepas menyampaikan ceramah Bicara Politik Semasa di Kampung Padang Malau, Beseri, di sini, semalam.

MUJAHID (kanan) bersama Noor Amin selepas menyampaikan ceramah. FOTO Aizat Sharif
MUJAHID (kanan) bersama Noor Amin selepas menyampaikan ceramah. FOTO Aizat Sharif

Turut hadir, Pengerusi PH Perlis, Noor Amin Ahmad; Pengerusi AMANAH Negeri Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim; Ketua Angkatan Wanita AMANAH Perlis, Che Mazlina Che Yob; Ketua AMANAH Kawasan Padang Besar, Muhammad Yahaya; dan Pengarah Pilihan Raya AMANAH Kawasan Padang Besar, Mat Safar Saad.

Sementara itu, Wan Kharizal memberi gambaran bahawa partinya akan bertanding kerusi lebih daripada yang dahulu.

Wan Kharizal turut tidak menolak kemungkinan bahawa beliau akan meneruskan perjuangan Amanah di Perlis dengan bertanding dalam PRU-15 kali ini.

Untuk rekod, Amanah memenangi 11 kerusi Parlimen dan mempunyai wakil di 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 12:05 PM