Aizat Sharif

Arau: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis merangkap Naib Pengerusi 1 Perikatan Nasional (PN) Perlis Abu Bakar Hamzah, melahirkan kekesalan terhadap tindakan Pengerusi PN merangkap Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, yang tidak memilihnya sebagai EXCO kerajaan negeri untuk tahun kedua.

Ini berikutan, dakwanya, beliau sudah pun mendapat sokongan menerusi surat daripada Pengerusi PN Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan beliau untuk dilantik sebagai EXCO Perlis.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Negeri Perlis turut mengisytiharkan 'perang' terhadap kepimpinan Mohd Shukri dan menggesanya untuk berundur sebagai Menteri Besar.

Abu Bakar berkata, ini adalah kali kedua namanya 'tercicir' daripada diangkat sebagai EXCO selepas kali pertama pada November tahun lalu sejurus PN menang majoriti kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Beliau (Mohd Shukri) tidak pernah berbincang soal pelantikan EXCO berkenaan (yang dilantik) dengan majlis pimpinan PN negeri.

"Malah, tindakan ini juga mendukacitakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat tidak menghormati keputusan beliau supaya saya, sebagai pemimpin tertinggi Bersatu dan PN negeri ini, dilantik sebagai EXCO," katanya pada sidang media di parkir perkarangan Istana Arau, di sini, hari ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (tengah) dan anakanda baginda, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri, berbaju Melayu biru) bergambar bersama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli (kanan, berbaju Melayu hitam) serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis termasuk ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil (berdiri dua dari kiri) dan ADUN Tambun Tulang (berdiri paling kanan sekali) yang baharu dilantik di Istana Arau. FOTO AIZAT SHARIF
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (tengah) dan anakanda baginda, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri, berbaju Melayu biru) bergambar bersama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli (kanan, berbaju Melayu hitam) serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis termasuk ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil (berdiri dua dari kiri) dan ADUN Tambun Tulang (berdiri paling kanan sekali) yang baharu dilantik di Istana Arau. FOTO AIZAT SHARIF

Beliau sebelum itu hadir dalam Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Istana Arau.

Katanya, pada masa sama, beliau mendakwa dua EXCO daripada Bersatu iaitu Adun Titi Tinggi Izizam Ibrahim yang juga Timbalan Ketua BPN Bersatu negeri dan Ketua Penerangan Bersatu Megat Hashirat Hassan, sebagai dalang dalam percaturan penolakan namanya untuk lantikan sebagai EXCO.

"Soal pelantikan EXCO sekali pun tidak pernah dibincangkan dalam PN negeri selain mesyuarat tidak pernah diadakan selepas PRU-15.

"Saya cukup kesal kerana Menteri Besar membelakangi keputusan Presiden parti yang juga Pengerusi PN yang sudah memberi sokongan saya sebagai EXCO.

"Malah, saya juga kesal dengan segelintir pemimpin Bersatu sendiri yang 'menikam' saya daripada belakang dalam soal pelantikan EXCO," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 3:52 PM