Aizat Sharif

Kangar: Peniaga daging segar di negeri ini diberi amaran supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya bagi mengelakkan mereka berdepan tindakan undang-undang.

Ini berikutan terdapat dakwaan peniaga daging segar mahu harga daging lembu dinaikkan ke RM38 berbanding RM34 seperti tertakluk pada Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Penjaja dan Peniaga Kecil, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Azizan Sulaiman berkata, pihaknya belum menerima maklumat berhubung tuntutan peniaga untuk menaikkan harga daging segar kepada RM38.

"Setakat ini, kita tidak menerima apa jua rungutan atau tuntutan serta maklum balas daripada peniaga daging segar atas dakwaan diperkatakan ini.

"Namun begitu, kita sedia mempertimbangkan sekiranya ada rungutan seperti ini untuk dibawa berbincang dengan KPDNHEP di peringkat pusat.

"Apa yang penting, semua pihak termasuk peniaga daging segar perlu sentiasa mematuhi aras harga yang ditetapkan oleh KPDNHEP bagi musim perayaan ini atau berdepan tindakan termasuk kompaun atau denda," katanya.

Beliau berkata demiakian selepas melakukan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 Peringkat Negeri Perlis di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Perlis Norazah Jaapar dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis Mohamad Amir Abdullah.

Katanya, berdasarkan pemantauan, KPDNHEP mendapati terdapat peniaga yang didapati tidak mematuhi skim harga yang sudah ditetapkan kerajaan.

"Sehingga hari ini, pemeriksaan terhadap 59 pemborong dan peruncit termasuk di pasar awam dan pasar raya pada hari pertama, semalam mendapati kebanyakan peniaga mematuhi arahan.

"Namun, masih terdapat peniaga tidak mematuhi harga yang ditetapkan dan bagi menangani isu ini, advokasi secara berhemah diberikan kepada peniaga," katanya.

AZIZAN (dua dari kanan) bersama Pengarah KPDNHEP Perlis, Norazah Jaapar (kanan sekali) dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah (kiri sekali) menunjukkan harga barangan yang diletakkan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 dalam majlis di sebuah pasar raya di Kangar. FOTO Aizat Sharif
AZIZAN (dua dari kanan) bersama Pengarah KPDNHEP Perlis, Norazah Jaapar (kanan sekali) dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah (kiri sekali) menunjukkan harga barangan yang diletakkan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 dalam majlis di sebuah pasar raya di Kangar. FOTO Aizat Sharif

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 3:10 PM